JAKARTA: Lonjakan dalam penularan Covid-19 di Indonesia menyaksikan lebih 2 juta penduduk di negara itu dijangkiti koronavirus sejak pandemik berlaku, menyaksikan pemerintah mengumumkan langkah sekatan lebih ketat di kawasan paling teruk terjejas bagi tempoh dua minggu.
Pemerintah Indonesia sejauh ini belum sedia melaksanakan perintah sekatan besar-besaran bagi membendung penularan virus Covid-19 jenis 'Delta' yang lebih mudah berjangkit.
Pemeriksaan Berita Harian mendapati, sehingga 12 tengah hari semalam, jumlah yang menghidapi Covid-19 ialah 2,004,445, di mana 54,956 telah terkorban dan 1,801,761 telah sembuh.
Sehingga kelmarin, Indonesia yang mempunyai seramai 270 juta penduduk berdepan dengan 14,536 kes jangkitan baru, dengan 294 terkorban pada hari sama.
Dalam pada itu, pelan sekatan pergerakan secara 'mikro' Covid-19 yang dilaksanakan Presiden Indonesia, Joko 'Jokowi' Widodo dikritik kerana gagal mencapai matlamat ketika semua negara serantau mengambil langkah lebih tegas.
Langkah itu mendapat kritikan meluas, antara lain daripada Gabenor Yogyakarta, Hamengkubuwono X, juga digelar Sultan Yogyakarta, yang mahu langkah proaktif seperti perintah berkurung berskala besar dilaksanakan.
Beliau menegaskan, pentadbiran pemerintah masih berkira-kira untuk mengenakan penutupan penuh di negeri itu meskipun berlaku peningkatan kes yang ketara sejak cuti perayaan Aidilfitri.
Gabenor itu berpendapat, sekatan skala mikro aktiviti awam (PPKM Mikro) tidak cukup untuk menyekat jangkitan koronavirus, yang meningkatkan kadar kematian di negeri itu sejak beberapa hari lalu.
"Langkah yang sepatutnya sekarang adalah penutupan penuh," katanya kepada media tempatan.
Perkara sama turut dinyatakan Gabenor Jakarta, Encik Anies Baswedan, yang berkata sekatan dalam negeri tidak cukup untuk memperlahankan jangkitan Covid-19 di bandar itu kerana ia turut tersebar di bandar-bandar lain.
"Bagaimanapun, pemimpin negeri atau wilayah tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan sekatan lebih tegas lagi meluas.
"Ini kerana undang-undang memperuntukkan hanya Menteri Kesihatan boleh melaksanakan sekatan sedemikian manakala Menteri Dalam Negeri berkuasa melanjutkan PPKM," katanya.
Indonesia mencatatkan 13,737 kes sehari sebelumnya (20 Jun), rekod tertinggi dilaporkan untuk empat hari berturut-turut manakala Jakarta, Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur dan Yogyakarta adalah negeri penyumbang angka terbesar.
Angka itu juga jumlah kes harian tertinggi sejak enam bulan lalu apabila rekod 14,500 kes dicatat 30 Januari lalu dan pihak berkuasa percaya ia berpunca akibat varian Delta yang sebelum ini dikesan di Jakarta, Jawa Timur dan Jawa Tengah.
Namun, setakat ini pemerintah Indonesia masih belum merancang penutupan penuh besar-besaran (PSBB) lagi dan masih meneruskan langkah PPKM yang lebih sederhana.
Jurucakap Menteri Kesihatan, Cik Siti Nadia Tarmizi, berkata pemerintah sudah pun melanjutkan dasar PPKM Mikro dan pihak berkuasa tempatan hanya perlu mengoptimumkan langkah itu.
"Bagaimanapun, pihak negeri kini semakin dicengkam disebabkan tidak mempunyai kuasa di bawah daftar PPKM untuk melandaikan jangkitan berkenaan," katanya kepada The Jakarta Post.
Minggu lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporannya menyatakan permintaan katil hospital di negara itu meningkat ketara dan perlu diberi perhatian, malah mencadangkan pelaksanaan sekatan Covid-19 lebih ketat seperti PSBB. - AFP, Reuters, The Jakarta Post.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg