Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin WP tutup akaun bank kumpul dana kes AHTC, derma baki pada badan amal

Oct 3, 2025 | 5:33 PM
Tiga pemimpin Parti Pekerja (WP) berkata mereka telah menderma lebih $57,000 kepada Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) dan Majlis Bandaran Sengkang (SKTC).
Tiga pemimpin Parti Pekerja (WP) berkata mereka telah menderma lebih $57,000 kepada Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) dan Majlis Bandaran Sengkang (SKTC). - Foto: ST

Pemimpin Parti Pekerja (WP) yang terlibat dalam saman sivil yang telah lama difailkan terhadap mereka oleh dua majlis bandaran telah menutup akaun bank bersama mereka yang digunakan untuk mengumpul dana daripada orang ramai, dan menyumbangkan bakinya kepada badan kebajikan.

Ketua WP, Encik Pritam Singh; pengerusi parti, Cik Sylvia Lim; dan mantan pemimpin parti, Encik Low Thia Khiang; berkata dalam hantaran pada 2 Oktober di blog pengumpulan dana mereka, bahawa kesimpulan kes mahkamah pada Julai 2024 berikutan satu penyelesaian di luar mahkamah bermakna tidak ada lagi keperluan untuk mengekalkan akaun bank tersebut.

Menurut The Straits Times, baki dalam akaun bank sebanyak $5,826.14 itu telah didermakan kepada Dana Masyarakat WP, sebuah badan amal berdaftar yang ditubuhkan untuk membantu keluarga yang memerlukan, tambah mereka.

“Prosiding mahkamah telah mengambil masa tujuh tahun untuk dimuktamadkan. Kami berterima kasih kepada semua orang yang telah bersama kami melalui episod ini,” tambah mereka.

Secara berasingan, tiga pemimpin WP itu berkata mereka juga telah menderma lebih $57,000 kepada Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) dan Majlis Bandaran Sengkang (SKTC).

Wang itu adalah sebahagian daripada kos lebih $230,000 yang Mahkamah Rayuan mengarahkan AHTC dan SKTC membayar ketiga-tiga mereka pada November 2023.

Ia adalah baki selepas kira-kira $173,000 digunakan untuk bil peguam mereka dari November 2023 hingga tamat tugas mereka.

Pemimpin WP itu berkata mereka telah membayar secara peribadi lebih $1.4 juta daripada $3.1 juta dalam yuran guaman yang ditanggung sejak tuntutan mahkamah difailkan pada 2017.

Meskipun mereka boleh menyimpan $57,000 sebagai sebahagian pembayaran balik, ketiga-tiga mereka berkata mereka sebaliknya memilih untuk mendermakan wang itu kepada dua majlis bandaran tersebut.

AHTC ditubuhkan untuk menguruskan kawasan undi Aljunied dan Hougang, dan majlis bandaran melantik FM Solutions & Services (FMSS) sebagai ejen pengurusannya tanpa memerlukan tender.

Majlis bandaran itu telah membawa beberapa pemimpin WP dan ahli majlis bandaran ke mahkamah pada 2017 berhubung pembayaran tidak wajar sebanyak $33.7 juta. Majlis bandaran juga menyaman FMSS.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg