Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penamaan calon PRU15 M'sia berjalan lancar

Nov 5, 2022 | 5:20 PM
Barisan calon bagi P107 Parlimen Sungai Buloh di pentas penamaan calon, pusat penamaan calon, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Shah Alam.
Barisan calon bagi P107 Parlimen Sungai Buloh di pentas penamaan calon, pusat penamaan calon, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Shah Alam. - Foto: Khirul Bahri

KUALA LUMPUR: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang ditutup pada jam 10 pagi tadi (05 November), menyaksikan semua borang pencalonan pemimpin utama parti yang bertanding, diterima oleh Pengurus Pilihanraya di kerusi masing-masing.

Tiada kejadian yang tidak dingini berlaku malah proses pencalonan di 222 kerusi Parlimen di Semenanjung serta di Sabah dan Sarawak berjalan lancar.

Begitu juga penamaan calon 116 Dewan Undangan Negeri (DUN), Perak, Pahang dan Perlis serta Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah.

Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempertahankan kerusi Bera tiba bersama penyokong Barisan Nasional (BN) di Dewan Konvensyen MajlisDaerah Bera, manakala Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menyerahkan borang pencalonan bagi kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandang sejak 1995 kepada Pengurus Pilihanraya di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak bertanding pada PRU-14 kerana menjalani hukuman penjara, mempertaruhkan kerjaya politiknya apabila memilih Parlimen Tambun pada kali ini dan menyerahkan borang pencalonan di Dewan Sri Kledang Institut Latihan Perindustrian Ipoh.

Pesaing beliau yang juga Timbalan Presiden Bersatu dan penyandang kerusi, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut menyerahkan borangnya.

Perikatan Nasional (PN) yang pertama kali bertanding pada PRU, menyaksikan Pengerusinya dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan borang pencalonan di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Pagoh, manakala Timbalan Pengerusinya yang juga Presiden PAS, Tan Sri Hadi Awang menyerahkan borangnya di Bilik Syarahan, Tingkat 2, Pejabat Daerah Marang.

Di Langkawi, mantan PM4 dan PM7, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini mengumumkan tidak akan bertanding menyerahkan borang pencalonan beliau atas tiket parti Pejuang di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Langkawi.

Di Sarawak dan Sabah pula, menyaksikan borang pencalonan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin diterima oleh Pengurus Pilihanraya di Dewan Sri Lamag, Kota Kinabatangan manakala Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Sri Alexander Nanta Linggi yang bertanding di Kapit menyerahkan borang beliau di Bilik Taklimat Utama, Aras 2, Kompleks Kerajaan Negeri, Kapit.

Sementara itu, Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau diterima sebagai calon kerusi Parlimen Tuaran, Presiden PBS, Datuk Seri Maximus Ongkili (PBS) pula bertanding di Kota Marudu.

Pemimpin komponen BN turut mengintai peluang bertanding - Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Parlimen Air Hitam, manakala Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran yang tidak pernah bertanding diletakkan di Parlimen Sungai Siput.

Pemimpin PH lain yang borang mereka turut diterima Pengurus Pilihanraya di kerusi masing-masing adalah Setiausaha Agung DAP, Encik Anthony Loke (Seremban); Presiden Amanah, Encik Mohamad Sabu (Kota Raja); Timbalan Presiden PKR, Encik Rafizi Ramli (Pandan) manakala Presiden MUDA, Tuan Syed Saddiq Syed Abd Rahman bertanding di Muar.

Turut mencuri perhatian adalah kemunculan selebriti Encik Azwan Ali di Parlimen Gombak untuk berdepan abangnya sendiri, Datuk Seri Mohamed Azmin dan calon PH yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Bagaimanapun, Encik Azwan tidak menghantar borang pencalonan beliau.

Begitu juga pelakon Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang bertanding atas tiket Pejuang di Port Dickson berdepan Menteri Besar, Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun manakala rakan sejawarnya, pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof di Sabak Bernam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg