ISLAMABAD: Pemerintah Pakistan telah mengerahkan tentera negara itu, untuk membantu dalam menghentikan bantahan ganas ekoran penangkapan bekas perdana menteri, Encik Imran Khan, dan memberi amaran kepada penunjuk perasaan supaya tidak lagi menyerang pusat-pusat pemerintah.
Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam keganasan yang memburukkan lagi kestabilan di negara Asia Selatan itu, dengan penduduk yang berjumlah 220 juta orang.
Pakistan kini sedang dilanda krisis ekonomi paling buruk, dan kekacauan itu melengahkan lagi bantuan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) yang telah tertangguh sejak November 2022.
Encik Imran, pemimpin Pakistan yang amat popular menurut tinjauan pendapat, ditangkap pada Selasa kerana didakwa terlibat dalam beberapa kes penipuan.
Penangkapannya itu telah mencetuskan bantahan ganas, dengan para penyokongnya menyerang beberapa pangkalan serta ibu pejabat tentera dan juga kediaman para pegawai tinggi tentera, di bandar Lahore, di timur negara itu.
Beberapa bangunan pemerintah yang lain turut diserang dan dibakar oleh para penunjuk perasaan.
Pemerintah berkata pada Rabu, ia telah meluluskan permintaan dua daripada empat wilayah - Punjab dan Khyber Pakhtunkhwa, kedua-duanya adalah kubu kuat Encik Imran - dan ibu kota Islamabad, supaya mengerahkan pasukan tentera di situ.
Pihak tentera telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah cukup berhati-hati dalam menangani keganasan sebelumnya.
Tetapi, sebarang tindakan ganas yang baru ke atas pusat-pusat tentera dan agensi penguatkuasa undang-undang serta hartanah "akan ditangani dengan tegas".
Sedang keganasan terus berleluasa di jalan-jalan raya, mahkamah Pakistan menyerahkan Encik Imran, 70 tahun, untuk ditahan oleh badan pencegah rasuah, Biro Akauntabiliti Nasional (NAB) selama lapan hari bagi siasatan lanjut, kata penasihat pemerintah, Encik Ataullah Tarar.
Bekas bintang kriket antarabangsa itu, kini ditahan di rumah tetamu polis, di Islamabad.
Sehari sebelum itu, sebuah lagi mahkamah, mendakwa Encik Imran pada Rabu, atas tuduhan menjual hadiah-hadiah milik negara, yang disimpannya semasa memegang kuasa selama empat tahun.
Tuduhan itu adalah berikutan daripada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan pada Oktober 2022, yang mendapati dia bersalah menjual hadiah-hadiah milik negara secara tidak sah, antara 2018 dengan 2022.
Dia diharamkan daripada memegang sebarang jawatan awam, sehingga selesai pilihan raya akan datang yang dijadualkan pada November 2023 ini. Encik Imran menafikan semua dakwaan itu.
Encik Mohsin Shahnawaz Ranjha, seorang anggota parlimen dari parti perikatan yang memerintah, selaku plaintif dalam kes terhadap Encik Imran itu, mengesahkan pendakwaan tersebut dan berkata mantan perdana menteri itu "telah menggugat kedamaian negara".
Pasukan peguambela Encik Imran, mencabar kesahihan penangkapan beliau, di Mahkamah Agung. - Reuters.