WASHINGTON: Sebuah panel penasihat perubatan pemerintah Amerika Syarikat menyokong penggunaan vaksin Pfizer Covid-19 bagi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, membuka jalan kepada kanak-kanak lebih muda mendapatkan suntikan vaksin itu beberapa minggu mendatang.
Pakar bebas menyimpulkan manfaat yang diketahui - manfaat langsung kepada kesihatan kanak-kanak dan menamatkan gangguan persekolahan dan gangguan lain - mengatasi risiko yang diketahui.
Selepas sehari pembentangan dan perbahasan, hasil undian menunjukkan 17 menyokong dan satu berkecuali.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA), yang mengadakan mesyuarat itu, dijangka memberi lampu hijau rasminya tidak lama lagi, menjadikan 28 juta kanak-kanak Amerika layak mendapatkan vaksin menjelang pertengahan bulan depan.
"Adalah jelas kepada saya bahawa faedahnya melebihi risiko apabila saya mendengar tentang kanak-kanak dimasukkan ke ICU (unit jagaan rapi), yang mengalami kesan jangka panjang selepas jangkitan Covid-19, dan kanak-kanak meninggal dunia," kata Cik Amanda Cohn daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), yang mengundi menyokong.
"Isunya tidak pernah mengenai apabila anda mengetahui segala-galanya - persoalannya ialah apabila anda cukup mengetahuinya," kata Encik Paul Offit, pakar pediatrik di Hospital Kanak-Kanak Philadelphia, yang juga mengundi 'ya' tetapi mahu data keselamatan lebih lengkap disediakan dari masa ke masa.
Beliau menambah bahawa ramai kanak-kanak berisiko tinggi akan mendapat manfaat, dan risiko teori miokarditis - kesan sampingan paling membimbangkan - mungkin sangat rendah, memandangkan dos yang digunakan akan diturunkan kepada 10 mikrogram, berbanding 30 mikrogram bagi mereka yang berusia lebih tua. - AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg