JAKARTA: Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P) akhirnya mencalonkan gabenor Jawa Tengah, Encik Ganjar Pranowo, selaku calon presidennya pada 21 April 2023.
Pengumuman itu dibuat secara tergesa-gesa di Istana Batutulis di Bogor, Jawa Barat.
Pengerusi PDI-P, Cik Megawati Sukarnoputri, mengesahkan pencalonan Encik Ganjar dengan meletakkan peci (topi) di kepala calon tersebut dan menggunakan gelaran hormat "Bung" bagi Encik Ganjar.
Cik Megawati ditemani Presiden Joko Widodo (Jokowi).
Cik Megawati juga ditemani dua anaknya, Puan Maharani - yang merupakan speaker parlimen Indonesia (DPR) - dan abang tiri Puan Maharani, Encik Prananda Prabowo.
Satu ciri luar biasa di acara tersebut adalah kehadiran Presiden Jokowi; meskipun beliau adalah kader PDI-P, beliau telah cuba paparkan dirinya melampaui kaitan dengan partinya selaku presiden.
Pencalonan Encik Ganjar Pranowo oleh PDI-P telah mengubah sekitaran politik bagi pilihan raya presiden (PE) 2024 dan akan menjejas gabungan yang sedia ada.
Sebelum ini, terdapat calon-calon presiden yang diduga, dengan kededuanya berkongsi tempat teratas dengan Encik Ganjar dalam undian daya sokongan atau 'elektabilitas'.
Bekas gabenor Jakarta, Encik Anies Baswedan, disokong Gabungan Perubahan Perpaduan, yang terdiri daripada Parti Nasional Demokrat (NasDem), Parti Keadilan Sejahtera (PKS), dan Parti Demokrat (DP).
Sementara itu Menteri Pertahanan, Encik Prabowo Subianto, telah menubuhkan Koalisi Kebangkitan Indonesia Raya (KKIR) dengan partinya Gerindra dan Parti Kebangkitan Bangsa (PKB).
Sedang KKIR belum mencalonkan Encik Prabowo secara rasmi, Gerindra menganggapnya selaku calon presiden sejak Ogos 2022.
Kesukarannya adalah Gerindra sahaja kurang 20 peratus kerusi parlimen untuk mencalonkan Encik Prabowo, sedang pengerusi PKB, Encik Muhaimin Iskandar, mempunyai keinginan menjadi presiden.
Pada awal Mac 2023, Encik Jokowi menyatukan Encik Prabowo dan Encik Ganjar di sebuah acara penuaian beras di Kebumen, Jawa Tengah.
Mesyuarat itu disasarkan terhadap usaha mengukuhkan gabungan besar lima parti - Gerindra, PKB, Golkar, dan Parti Persatuan Pembangunan (PPP) serta Parti Mandat Nasional (PAN) - yang diuruskan Encik Jokowi.
Pertemuan tidak formal itu gagal capai persetujuan tentang seorang bakal calon.
Dengan setengah tahun lagi sebelum tempoh pencalonan rasmi bagi pasangan kempen PE bermula, kebolehpilihan setiap calon berpotensi itu akan melalui kesenangan dan kesukarannya.
Sebelum pencalonan Encik Ganjar minggu lalu, angka undian Encik Prabowo dilihat naik dan beliau jelas mempunyai sedikit momentum berbanding Encik Anies Baswedan, yang mengalami angka mendatar - malah menurun sedikit berbanding tahun lalu.
Tumpuan masa kini oleh Encik Anies adalah terhadap usaha mendampingi rangkaian di luar negara berbanding bertemu bakal pengundi dan mengadakan rapat tidak rasmi di rumah mungkin punca di sebalik kelakonannya.
Sedang Encik Ganjar mengalami kekurangan dalam populariti pada lewat Mac 2023, selepas beliau menolak penyertaan pasukan Israel dalam Piala Dunia Bawah-20 tahun, isu ini mungkin tidak akan menjejas angka undiannya pada masa akan datang.
Terdapat kemungkinan bahawa kebolehpilihan Encik Prabowo telah meningkat memandangkan beliau paparkan dirinya sebagai alternatif yang layak antara Encik Jokowi/Encik Ganjar dan Encik Anies Baswedan, dengan penyokong masing-masing telah bertengkar sejak 2017.
Kempen Encik Anies bagi jawatan gabenor Jakarta menyaksikan persaingannya dengan sekutu Encik Jokowi, Encik Basuki Tjahaja Purnama, "Ahok".
Encik Ganjar mungkin telah mendukung bersamanya perselisihan ini - dan secara ironinya, mengurangkan rating kebolehpilihan - kerana beliau dianggap pengganti Encik Jokowi.
Kini pengundi Indonesia, terutama golongan muda, seolah-olah kian penat dengan perbalahan ini.
Penanda (indikator) tinjauan terkini menunjukkan bahawa rating kelulusan Encik Jokowi tidak sejajar dengan rating Encik Anies.
Encik Ganjar dan PDI-P perlu menguruskan teka-teki ini sekiranya ingin menyaksikan kejayaan semasa kempen PE mereka.
Encik Prabowo merupakan menteri di bawah pentadbiran Encik Jokowi, namun tidak dianggap selaku pengganti presiden.
Encik Prabowo boleh dianggap selaku orang terpenting di belakang Encik Anies semasa pilihanraya gabenor Jakarta pada 2017.
Ramai penyokong Encik Anies menjadi penyokong Encik Prabowo semasa bidaan presiden beliau pada 2019.
Namun kini Encik Prabowo memaparkan dirinya sebagai seseorang yang bebas daripada politiking yang berterusan.
Beliau seolah-olah yakin bahawa momentum politiknya berada di sisinya dan telah menolak kemungkinan yang beliau akan berpasangan dengan Encik Ganjar selaku calon naib presidennya.
Bukan sahaja gabungan parti itu telah digegarkan dengan pencalonan Encik Ganjar malah golongan elit juga sudah mula bertindak.
Beberapa nama telah ditimbulkan selaku calon naib presiden.
Encik Sandiaga Uno, yang merupakan menteri pelancongan dan ekonomi kreatif, telah pun memberi isyarat akan keinginannya melepaskan jawatannya selaku timbalan pengerusi Gerindra.
Adalah dipercayai bahawa beliau berbuat demikian kerana ingin sertai PPP, sebuah parti Islam dengan zaman gemilangnya adalah semasa rejim Order Baru.
Encik Sandiaga, yang merupakan salah seorang yang terkaya di negara itu, pastinya calon panas bagi mana-mana tiga calon berpotensi PE.
Selaku seorang calon bersama, harta miliknya pasti akan mendorong kempen sesiapa sahaja.
Sementara itu kebolehpilihan Encik Ganjar Pranowo akan mempengaruhi bagaimana parti-parti besar akan bersaing bagi kedudukan pada 2024.
Presiden Jokowi akan berusaha jadi kingmaker atau pihak penentu, dan mungkin juga menyelaras satu gabungan besar.
Memandangkan hubungan rapatnya dengan dua daripada tiga calon tersebut, Encik Jokowi akan menang sekiranya Encik Prabowo atau Encik Ganjar menjadi presiden.
Namun sekiranya idea Encik Jokowi terhadap satu gabungan besar menemui kegagalan, berdasarkan satu konsensus jelas bagi seorang pemenang, persaingan tiga pihak masa kini berkemungkinan menyebabkan dua pusingan undian PE (memandangkan tiada calon berpasangan akan meraih majoriti dalam undian nasional itu).
Dalam senario tersebut, hasil PE 2024 Indonesia akan terletak di tangan rakyat, bukan ahli politik.
Demokrasi ternyata amat berbaloi sedang dua pusingan undian akan menambah kepada kos undian.
► Penulis adalah Zamil Pelawat dalam Program Pembelajaran Indonesia, Iseas - Institut Yusof Ishak. Tumpuan penyelidikannya adalah tentang politik Indonesia, hubungan sivil - ketenteraan, dan politik etnik - identiti dan beliau juga wartawan bebas.
Rencana ini pertama kali disiarkan di laman Fulcrum, Iseas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg