KYIV: Ukraine membuat tindakan geopolitik yang berani selepas pencerobohan Russia ke negara itu apabila memutuskan menjadi calon untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU) kelmarin.
Kyiv dan Brussels menyifatkan tindakan Ukraine itu sebagai suatu detik bersejarah.
Menurut seorang penasihat pemerintah Ukraine, tindakan itu akan menjadi rangsangan semangat buat Ukraine yang sedang dilanda peperangan apabila serangan Russia ke atas dua bandar di wilayah timur Donbas kini menuju ke arah kemuncak yang menakutkan.
Selepas pengumuman rasmi mengenai keputusan itu, Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelenskiy, menyatakan masa depan Ukraine adalah bersama EU.
"Kita akan bersama dalam melakar masa depan," katanya di Twitter.
Kelulusan permohonan Kyiv melalui pertemuan pemimpin EU di Brussels dijangka menimbulkan kemarahan Russia dalam pergelutannya dalam 'mendapatkan' Ukraine.
Namun, Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, minggu lalu akui tidak terancam dengan keanggotaan Ukraine dalam EU.
Kata Encik Putin, EU bukan pertubuhan ketenteraan dan tidak dianggap satu ancaman buat Rusia.
Moldova juga menjadi calon rasmi kelmarin, menandakan hasrat blok itu untuk menggapai lebih jauh ke atas bekas Kesatuan Soviet terbabit.
Suruhanjaya Eropah minggu lepas mengesyorkan agar Ukraine diberikan status itu, sebagai langkah pertama untuk menuju ke arah keahlian EU, dengan syarat Kyiv perlu memperjuangkan isu yang berkaitan dengan kedaulatan undang-undang, keadilan dan antirasuah.
Keputusan muktamad untuk memberikan status itu kepada Ukraine, Moldova dan Georgia, dan sebarang syarat yang ditetapkan, perlu diluluskan oleh semua ahli sebelum dimuktamadkan.
Ukraine, Georgia dan Moldova menandatangani perjanjian persatuan dengan EU bagi merapatkan hubungan mereka dari segi ekonomi dan politik.
Semalam genap empat bulan pencerobohan Russia ke atas Ukraine apabila Presiden Putin mengerah tentera melintasi sempadan melalui 'operasi ketenteraan khas'.
Konflik itu, yang dilihat Barat sebagai pencerobohan yang tidak wajar oleh Russia, mengorbankan ribuan orang selain jutaan mangsa kehilangan tempat tinggal.
Krisis perang bermula 24 Februari lalu itu turut memusnahkan bandar, manakala pengurangan eksport makanan dan tenaga menjejas negara di seluruh dunia. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg