JAKARTA: Pencipta perencah mi segera Indomie, Nunuk Nuraini, 59 tahun, meninggal dunia Rabu lalu.
Pemergian Allahyarhamha disahkan oleh pengarah perhubungan awam syarikat PT Indofood Sukses Makmur, Cik Nurlita Novi Arlaida, dalam satu kenyataan.
Indofood merupakan syarikat penghasil Indomie dalam pelbagai perisa.
"Ibu Hajjah Nunuk Nuraini meninggal dunia dan kembali dengan tenangnya kepada Allah," ujar Cik Nurlita tanpa menjelaskan punca kematian wanita itu.
Nama Nunuk Nuraini memang tidak asing lagi dalam dunia masakan.
Allahyarhamha lulusan jabatan teknologi makanan Universiti Padjadjaran di Bandung.
Beliau kemudian bekerja selama 30 tahun dengan Indofood di jabatan mi segera sebagai pengurus proses peningkatan perisa.
Antara ciptaan enaknya ialah soto, rendang, kari ayam, sambal matah dan mi goreng.
Pada November 2019, akhbar Los Angeles Times memilih mi perisa ayam panggang Indomie sebagai mi paling sedap dalam ranking mi segera yang dikeluarkannya. Mi goreng Indomie pula meraih tempat ke-10 dalam senarai tersebut.
Pada 2017, nama Allahyarhamha dijulang setelah gabenor Jawa Barat Ridwan Kamil menggelarnya sebagai wirawati pelajar asrama menerusi masukan Instagram.
Warganet Indonesia membanjiri pelbagai wadah media sosial dengan ucapan takziah yang penuh kedukaan.
"Innalillahi wa inna ilaihi rojiun. Semoga menjadi amal jariah buat beliau karena menemukan rasa Indomie yg enak, aamiin," tulis seorang warganet.
Seorang lagi warganet menyahut:
"Al-Fatihah, semoga husnul khotimah untuk Ibu Nunuk Nuraini. Terima kasih atas perjuangan dan pengabdiannya dalam meracik dan mewujudkan ragam rasa Indomie."
Kiriman Twitter tokoh dunia makanan Indonesia, Cik Laila Dimyati, yang mengumumkan pemergian Nunuk Nuraini, telah pun diulang sebar lebih 30,000 kali.
Beliaulah orang pertama yang menyebarkan khabar pemergian wanita itu.
Menurut laman rasmi Indomie semalam, mi segera perisa ayam keluarannya dilancarkan pada 1971.
Pada 1982, mereka melancarkan pula mi goreng, iaitu mi segera tanpa sup pertama yang diilhamkan daripada mi goreng biasa.
Selain mi bersup seperti perisa ayam dan mi tanpa sup seperti mi goreng, mereka menyediakan perisa sayur-sayuran dan kari ayam.
Indomie dipasarkan ke lebih 80 negara seperti Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Canada dan segenap pelosok Asia, Afrika, Eropah dan Timur Tengah.
Setiap tahun, mereka menghasilkan 19 bilion peket mi segera untuk diedarkan ke seluruh dunia. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg