Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Pendakwa AS kemuka tuduhan rasmi ke atas 3 dalang serangan ganas di Indonesia 2002, 2003

Jan 23, 2021 | 05:30 AM



WASHINGTON: Pendakwa raya tentera Amerika Syarikat memfailkan pertuduhan rasmi terhadap tiga individu yang disyaki mendalangi tragedi pengeboman Bali pada 2002 serta serangan ganas di Jakarta pada 2003, kata Pentagon, lapor agensi berita AFP.



Pertuduhan itu difailkan hampir 18 tahun selepas ketiga-tiga tertuduh ditangkap di Thailand dan dikurung dalam penjara tentera Amerika di Guantanamo Bay, Cuba, lebih 14 tahun.



Pertuduhan pertama membabitkan ketua kumpulan jihad Indonesia, Jemaah Islamiyah (JI), Riduan Isamuddin yang juga dikenali sebagai Hambali, 57 tahun, yang dipercayai turut menjadi wakil kanan Al-Qaeda di rantau itu.



Kumpulan yang disokong Al-Qaeda itu melakukan pengeboman kelab malam di Bali pada 12 Oktober 2002, yang membunuh 202 individu, serta serangan di hotel JW Marriott di Jakarta pada 5 Ogos 2003, yang meragut 12 nyawa manakala puluhan lagi cedera.



Dua pertuduhan lagi membabitkan rakyat Malaysia, Mohammed Nazir Lep atau 'Lillie', 45 tahun, dan Mohammed Farik Amin atau 'Zubair', 46 tahun, yang menjadi orang kanan Hambali dalam JI dan dilatih Al-Qaeda, menurut dokumen kes Guantanamo.



Ketiga-tiga mereka - Hambali, Nazir dan Farik - telah ditangkap di Thailand sebelum meringkuk lebih 14 tahun di Guantanamo Bay.



"Pertuduhan itu membabitkan konspirasi, pembunuhan, cubaan membunuh, dengan sengaja mendatang kecederaan, keganasan, menyerang orang awam, menyerang dan memusnahkan harta, serta melanggar undang-undang perang," kata Pentagon dalam satu kenyataan.



Bagaimanapun, tidak jelas mengapa pertuduhan itu dibuat selepas beberapa tahun pertuduhan di hadapan tribunal tentera di Guantanamo, diumumkan semalam.



Pada 2016, usaha Hambali untuk dibebaskan dari Guantanamo ditolak kerana menurut pendakwa raya, militan itu masih "menjadi ancaman kepada keselamatan Amerika".



Jabatan Pertahanan Amerika dalam penilaian pada Mac 2016, memutuskan bahawa Mohammed Nazir dan Mohd Farik, yang dipenjarakan di kemudahan tentera laut Amerika sejak September 2006 kerana menyerang kepentingan republik itu dan terbabit dalam pengeboman Bali pada 2002, mungkin menyambung semula kegiatan mereka jika dibebaskan.



Malah, Berita Harian Malaysia (BHM) dalam laporannya pada Ogos 2016 memetik kerajaan Malaysia mengatakan usaha sudah dilakukan untuk membawa pulang kedua-dua rakyat Malaysia yang ditahan di Guatanamo Bay tetapi peraturan dan perundangan Amerika menentukan mereka terus ditahan.



Akhbar The New Straits Times (NST) Malaysia melaporkan pada 24 Oktober 2016 bahawa Farik bertemu Nazir semasa menuntut di Politeknik Sultan Abdul Halim di Kedah, dan telah ke Afghanistan pada Julai 2000.



Farik telah mengikuti kursus asas dan lanjutan di kem Al-Farouq yang dikendalikan Al-Qaeda dan terlibat dalam satu misi barisan depan menentang Perikatan Utara.



Akhbar NST melaporkan lagi, Farik telah melafaz bai'ah kepada Osama bin Laden (1957-2011) dan telah dipilih oleh pemimpin Al-Qaeda Indonesia dan Jemaah Islamiyah, Hambali, untuk menyertai operasi pengebom nekadnya.



Agensi berita AFP menyatakan, pertuduhan terbaru diumumkan pada hari pertama pentadbiran penuh Presiden baru Amerika, Encik Joe Biden.



Ketika Encik Biden menjadi Naib Presiden kepada Presiden Barack Obama sebelum ini, mereka berusaha untuk menutup penjara di Guantanamo milik tentera dan membebaskan atau mendakwa baki banduan di mahkamah awam Amerika, namun usaha itu gagal.



Encik Donald Trump yang menggantikan Encik Obama pula tidak berminat pada Guantanamo serta banduannya, yang turut membabitkan pemimpin kanan Al-Qaeda dan perancang serangan 11 September, Khalid Sheikh Mohammed.



Pada masa sama, tiada perkembangan lanjut mengenai status 40 banduan lain yang masih ditahan di Guantanamo.



Penjara itu pernah menahan sehingga 780 'banduan pengganasan', namun kebanyakannya sudah dihantar pulang ke negara asal masing-masing. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >