AMSTERDAM: Pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berkata beliau akan segera membuka siasatan ke atas kemungkinan berlakunya jenayah perang di Ukraine, berikutan permintaan berbuat demikian oleh sebilangan negara anggota mahkamah.
Pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 24 Februari masih belum menggulingkan pemerintah di Kyiv, namun ribuan orang dipercayai terbunuh atau cedera, menurut pegawai di dua negara itu dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Siasatan aktif secara rasmi akan bermula di Ukraine selepas menerima permintaan oleh 39 anggota negara," kata pendakwa raya, Encik Karim Khan di Twitter.
Permintaan oleh negara anggota itu mempercepatkan penyiasatan kerana ia membolehkan pendakwa raya tidak perlu mendapatkan kelulusan mahkamah di The Hague, mengurangkan prosesnya selama beberapa bulan.
Encik Khan, pada Isnin lalu, berkata beliau akan mendapatkan kelulusan mahkamah berkaitan dakwaan jenayah perang di Ukraine.
Pejabat pendakwa raya akan mula mengumpul bukti bagi "sebarang dakwaan jenayah perang dahulu dan sekarang, jenayah terhadap kemanusiaan atau pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan di mana-mana bahagian Ukraine oleh sesiapa sahaja", kata Encik Khan dalam satu kenyataan.
Berikutan pendudukan Russia di Crimea pada Mac 2014 dan pertempuran selanjutnya di timur Ukraine antara pemisah pro-Russia dengan tentera Ukraine, Ukraine menerima bidang kuasa ICC bagi siasatan dilakukan di wilayahnya.
Pada Disember 2020, pejabat pendakwa raya mengumumkan mereka mempunyai sebab untuk mempercayai jenayah perang dan jenayah lain dilakukan semasa konflik di timur Ukraine, tetapi permintaan bagi siasatan penuh tidak difailkan.
Russia bukan anggota ICC dan menolak bidang kuasanya.
Mahkamah boleh menyiasat dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan di wilayah Ukraine tanpa mengira kewarganegaraan pelaku yang disyaki. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg