Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendapatan pekerja terjejas apabila Beijing laksana sekatan perjalanan

Ujian besar-besaran dijalankan ke atas lebih 22 juta penduduk bagi elak penutupan lebih besar seperti yang berlaku di Shanghai
Apr 29, 2022 | 5:30 AM
PEMERIKSAAN BESAR-BESARAN: Seorang pekerja perubatan yang memakai alat pelindung diri mengambil sampel colekan daripada seorang penduduk di tapak ujian sementara asid nukleid di tengah-tengah penularan penyakit koronavirus, di Beijing, China. - Foto REUTERS
PEMERIKSAAN BESAR-BESARAN: Seorang pekerja perubatan yang memakai alat pelindung diri mengambil sampel colekan daripada seorang penduduk di tapak ujian sementara asid nukleid di tengah-tengah penularan penyakit koronavirus, di Beijing, China. - Foto REUTERS -

BEIJING: Jutaan pekerja kolar putih dan biru yang kehidupan bergantung kepada pergerakan tidak terbatas antara bandar kini menyaksikan pendapatan mereka merosot teruk sejak kes Covid-19 mula melonjak pada Mac lalu dan pengaliran penduduk dan barangan antara wilayan tersekat akibat sekatan perjalanan.

Pihak berkuasa bandar raya ini menutup beberapa kawasan awam dan meningkatkan pemeriksaan di tempat lain manakala lebih 22 juta penduduk bandar itu memulakan ujian besar-besaran Covid-19 bagi mengelak penutupan seperti berlaku di Shanghai.

Ketika Beijing melakukan tiga kali saringan besar-besaran, beberapa kawasan kediaman, blok pejabat dan sebuah universiti di beberapa daerah turut ditutup selepas jangkitan ditemui di sekolah, tempat hiburan dan tapak pelancongan.

Malah Universal Studios di Beijing turut mengumumkan pelawat perlu menunjukkan keputusan ujian negatif sebelum boleh memasuki taman tema itu, bermula esok.

Di seluruh Beijing, kes positif ditemui dalam 20 juta sampel yang diperoleh pada saringan pertama ujian besar-besaran, tetapi jumlahnya kecil.

Kelmarin, dilaporkan sebanyak 50 jangkitan baru, meningkat daripada 34 kes sehari sebelumnya.

Sejak 22 April lalu, Beijing sudah menemukan lebih 160 kes, lebih separuh di Chaoyang, daerah paling ramai penduduk yang terkenal dengan pusat hiburan malam dan beli-belah serta kedutaan.

Selain itu, Yanqing, sebuah daerah kecil di utara Beijing dengan populasi 350,000 orang pula akan mula menyaring mereka yang tinggal dan bekerja di kawasan itu, walaupun ia tidak berada dalam senarai daerah yang diarahkan untuk menjalankan ujian besar-besaran minggu ini.

Setakat ini, Beijing cuba mengelak daripada mengganggu sektor ekonomi dengan membenarkan penduduk pergi bekerja walaupun mereka menjalani ujian, melainkan jangkitan ditemui dan penutupan setempat diperlukan.

China masih bergelut menangani penularan Covid-19 di negara itu.

Kebanyakan daripada pesakitnya menunjukkan gejala jangkitan virus itu.

Pihak berkuasa sedang bergelut dengan masa untuk membendung penularan virus berkenaan.

Pusingan kedua ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran sudah mula dijalankan di daerah terbesar Beijing, di Chaoyang.

Pegawai kesihatan Beijing menyasarkan untuk menguji sekitar 20 juta penduduk sebanyak tiga kali menjelang esok.

Sementara itu, penduduk Beijing berpusu-pusu ke pasar raya bagi membeli bekalan makanan dan keperluan asas yang lain.

Mereka bimbang jika bandar raya itu diletakkan di bawah sekatan pergerakan, seperti Shanghai.

Perniagaan di Beijing juga sudah menyesuaikan operasi mereka bagi menghadapi gangguan.

Setakat ini, beberapa bandar di seluruh China sudah mengeluarkan arahan bagi menggesa penduduk supaya jangan melakukan perjalanan sepanjang cuti panjang Hari Buruh demi mencegah Covid-19 daripada terus merebak.

Menerusi dasar sifar Covid-19, China melaksanakan perintah berkurung, saringan besar-besaran dan sekatan pergerakan yang ketat bagi membendung jangkitan.

Bandar terbesarnya, Shanghai, sudah dikenakan perintah berkurung selama berminggu-minggu, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa Beijing yang ketika ini ingin melakukan saringan besar-besaran, bakal berdepan perintah sama. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg