OTTAWA: Penduduk Canada bertambah 2.7 peratus pada 2022, pertumbuhan paling pesat di kalangan negara-negara maju dan setara dengan kebanyakan negara Afrika.
Negara itu mencatatkan tambahan tertinggi, iaitu 1,050,110 orang dalam masa satu tahun, menjadikan jumlah penduduknya kini seramai 39,566,248 orang, Perangkaan Canada melaporkan pada Rabu lalu di Ottawa.
Migran antarabangsa merupakan 95.9 peratus daripada pertumbuhan penduduk itu.
Ia menandakan kali pertama, negara utara mesra-pendatang, bertambah lebih sejuta orang dalam setahun.
Jika dikekalkan, kadar pertumbuhan seperti itu boleh membawa kepada jumlah penduduk Canada berlipat sekali ganda, dalam masa 26 tahun, kata agensi perangkaan itu lagi.
Pertumbuhan penduduk paling tinggi yang dicatatkan itu, adalah hasil daripada rancangan Perdana Menteri, Encik Justin Trudeau, untuk menambah sekitar setengah juta orang penduduk tetap, setiap tahun.
Kerajaan Canada sering menaikkan bilangan sasaran migran, bagi menambah jumlah tenaga kerja dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi.
Namun, ia menimbulkan pula masalah kekurangan perumahan dan pekerja penjagaan kesihatan.
Bagaimanapun, kajian baru-baru ini oleh Kumpulan Penyelidikan Nanos untuk Berita Bloomberg mendapati, 52 peratus responden menyatakan, rancangan Encik Trudeau itu mempunyai kesan positif terhadap ekonomi Canada.
Sementara 38 peratus melihat pertumbuhan penduduk itu sesuatu yang negatif.
Sekalipun dasar membuka pintu itu mendapat sokongan meluas, pertumbuhan pesat penduduk di pusat-pusat bandar, mengakibatkan kadar sewa melambung, dan memaksa ramai orang keluar dari bandar-bandar besar dan mencari rumah kediaman yang termampu di tempat-tempat lain. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg