Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Pilihan Raya Umum Ke-15 Malaysia

Penduduk flat mahu lebih banyak peningkatan

Persaingan bagi kerusi Parlimen di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjadi tumpuan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana ia telah menarik ramai calon, dengan beberapa kerusi menyaksikan lapan hingga 10 calon. Dalam bahagian kedua laporan khas ini, BERITA HARIAN mengetengahkan sebahagian cabaran dihadapi penduduk dan beberapa calon utama yang bertanding di sini.
Nov 10, 2022 | 07:42 AM



SELAMA bertahun-tahun, sampah termasuk sisa makanan sering memenuhi lantai bawah kawasan pangsapuri kos rendah Laksamana Jaya dekat Batu Caves di Gombak, Selangor.



Bau sampah yang busuk itu juga sering mengundang haiwan liar, seperti anjing, ke kawasan perumahan itu.



Lif di Blok A pangsapuri itu juga sudah beberapa tahun rosak, sehingga penduduk terpaksa turun naik tangga bangunan 10 tingkat itu.



Namun bagi salah seorang penduduk, Cik Nurul Aini Rapa, 34 tahun, beliau akhirnya dapat tersenyum melihat peningkatan dilaksanakan sejak empat tahun lalu di pangsapuri tempat beliau tinggal bersama suami dan anaknya yang berumur sembilan tahun.



Ini juga hasil usaha gigihnya serta beberapa penduduk lain pergi ke mahkamah beberapa kali bersama ahli majlis perbandaran, dengan mendapat sokongan daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, sehingga akhirnya kerja peningkatan itu dapat dilaksanakan.



"Saya tinggal di sini sejak 2014, di tingkat 10, tapi selama empat tahun, kami tak ada lif. Bayangkan dari bawah sampai tingkat 10, tiap-tiap hari turun naik tangga.



"Tak ada sesiapa pun datang bantu kami pada waktu itu tapi nak buat macam mana? Rumah dah beli 'kan, jadi kena tinggal juga, kalau tak nak ke mana?



"Perlahan-lahan kami naik mahkamah... baru dari situ, kami mula dapatkan satu lif baru, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang beri," ujarnya yang jelas rasa bangga sambil tersenyum dan menyarankan kepada wartawan untuk mengambil gambar lif itu.



Sejak itu, penduduk rumah pangsa Laksamana Jaya itu dapat menikmati lebih banyak peningkatan sedikit demi sedikit.



"Selepas isu lif, masalah sampah pula diatasi... mereka dah bina rumah sampah baru. Kemudian, kami dapat lif kedua.



"Sekarang, pam air pula rosak hingga air tak ada pada hari itu. Tapi quotation (sebut harga) dah keluar, tinggal tunggu dapat kelulusan untuk baikinya.



"Sekarang ini pun kami sedang dalam proses mendapatkan quotation akhir untuk mengecat seluruh bangunan," ujar eksekutif pentadbiran dan akaun itu.



Cik Nurul Aini berkata beliau dan suaminya yang bekerja sebagai pemandu treler membeli flat mereka pada harga RM85,000 ($25,160) dan membayar ansuran sebanyak RM450 sebulan.



Mereka juga membayar RM40 sebulan bagi bayaran penyelenggaraan.



Kawasan pangsapuri kos rendah Laksamana Jaya itu turut dikunjungi Datuk Amirudin yang kini berkempen di kawasan itu baru-baru ini.



Beliau bertanding di kawasan Parlimen Gombak atas tiket Pakatan Harapan (PH) dan berdepan dengan empat pencabar lain termasuk mantan Menteri Besar Selangor yang juga penyandang kerusi Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali (Perikatan Nasional); calon Barisan Nasional (BN), Datuk Megat Zulkarnain Omardin; calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir; serta calon bebas, Haji Zulkifli Ahmad.



Dalam manifestonya, PH antara lain berikrar mengambil alih kerja penyelenggaraan perumahan kos rendah untuk mengurangkan beban penduduk jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan membentuk kerajaan persekutuan.



Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Gasing di Petaling Jaya, Selangor, Encik Rajiv Rishyakaran, sebelum ini berkata matlamat PH adalah untuk meningkatkan taraf hidup penduduk di rumah pangsa kos rendah di seluruh negara.



"Anda boleh cari di dalam talian dan melihat keadaan yang teruk dan kotor di sesetengah flat ini. Setiap rakyat Malaysia berhak untuk hidup bermaruah, walaupun yang termiskin di antara kita semua.



"Sekarang ini, penyelenggaraan jalan raya dan longkang diuruskan oleh kerajaan.



"Jika kerajaan boleh berbuat demikian, maka perkara yang sama boleh dilakukan bagi rumah pangsa kos rendah," katanya.



Meskipun Cik Nurul Aini kini berpuas hati dengan pelbagai peningkatan yang telah dijalankan sejak beberapa tahun lalu, beliau dan penduduk lain yakin lebih banyak usaha boleh terus dijalankan untuk mempertingkat pangsapuri itu dan sekitarannya.



Semasa bercakap dengan Berita Harian dengan berlatarbelakangkan tembok yang diconteng serta tangga bangunan itu yang gelap dan kotor, seorang lagi penduduk, Encik Salman Mohd Sanusi, 23 tahun, berkata beliau akur masalah lif pangsapuri itu sudah diatasi kini, namun mahukan lebih banyak kerja peningkatan dijalankan.



"Flat ini memang perlu dipertingkat dan dibersihkan lagi," ujar pemuda asal Kelantan itu yang sudah dua tahun tinggal di pangsapuri tersebut sendiri selepas dihantar bekerja di Selangor, dengan membayar sewa rumah RM500 sebulan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >