JUMLAH penduduk India telah mencecah 1,425,775,850 orang, melebihi bilangan penduduk di tanah besar China, menurut anggaran Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).
Banci penduduk - yang dijadualkan pada 2021 - telah ditangguhkan, jadi belum ada data rasmi penduduk.
Sementara China pula, terakhir menjalankan banci penduduk yang ketujuh, telah diadakan pada 2020.
Untuk menganggarkan dan menentukan jumlah penduduk India dan China, PBB bergantung kepada maklumat mengenai taraf dan trend kelahiran, kematian dan penghijrahan yang diperolehi daripada catatan, kajian dan data pentadbiran.
Yang jelas adalah, kedua-dua negara itu, India dan China, masing-masing mempunyai lebih 1.4 bilion penduduk, dan sejak lebih 70 tahun mempunyai lebih satu pertiga daripada jumlah penduduk dunia.
Bilangan penduduk China dijangka mula berkurangan pada 2024. Pada 2022, 10.6 juta kelahiran dicatatkan, lebih sedikit saja berbanding bilangan kematian.
Menurut PBB, jumlah penduduk China akan terus merosot dan mungkin sampai kurang satu bilion, sebelum hujung abad ini.
Kadar kelahiran di India juga berkurang dengan banyaknya dalam beberapa dekad kebelakangan ini.
Dari[pada 5.7 kelahiran bagi setiap wanita dalam 1950 kepada dua kelahiran bagi setiap wanita hari ini - tetapi kadar berkurangnya agak perlahan.
Penduduk India pastinya akan terus bertambah buat beberapa dekad ini - PBB menjangkakan jumlah itu akan sampai kemuncaknya sekitar 2054, dan kemudian beransur merosot.
CORAK KEPENDUDUKAN ANTARA CHINA DENGAN INDIA
China mengurangkan bilangan penduduknya lebih cepat daripada India.
China mengurangkan kadar pertumbuhan penduduknya kira-kira separuh, daripada dua peratus dalam 1973 kepada 1.1 peratus dalam 1983.
Pakar kependudukan berkata, ini dapat dicapai dengan melanggar hak asasi - dua kempen berasingan membataskan hanya seorang anak saja bagi setiap pasangan, dan kemudian melambatkan perkahwinan, jauhkan jarak antara anak, dan segelintir mereka - kebanyakannya di luar bandar - kurang berpendidikan dan hidup dalam kemiskinan.
Pelaburan dalam sektor kesihatan awam dan meningkatkan taraf pendidikan di kalangan wanita serta penyertaan mereka dalam dunia pekerjaan, antara lain turut menyumbang ke arah merosotnya jumlah kelahiran.
Penduduk India bertambah lebih tiga kali ganda dalam masa enam dekad, selepas negara itu mencapai kemerdekaan - daripada 361 juta dalam 1951, kepada lebih 1.2 bilion dalam 2011.
India menyaksikan pertumbuhan penduduk yang pesat - hampir dua peratus setiap tahun - dalam separuh tempoh kedua abad yang lalu.
Kadar kematian berkurang, jangkaan umur meningkat dan pendapatann juga meningkat.
Kebanyakan orang - terutama yang tinggal di bandar-bandar - mendapat bekalan air minuman bersih dan sistem pembetungan moden.
"Kadar kelahiran terus meningkat," kata Profesor Tim Dyson, seorang pakar kependudukan di Sekolah Ekonomi London.
India melancarkan program perancangan keluarga pada 1952 dan melakarkan dasar kependudukan kebangsaan buat pertama kalinya pada 1976, hampir sama waktunya ketika China sibuk mengurangkan kadar kelahirannya.
Tetapi paksaan pencegahan hamil terhadap jutaan penduduk miskin, menerusi program perancangan keluarga yang terlalu ghairah semasa era Darurat 1975 - apabila kebebasan awam disekat - mengakibatkan program perancangan keluarga mendapat tentangan.
"Kadar kelahiran boleh dikurangkan dengan cepat di India sekiranya era Darurat 1975 itu tidak dikuatkuasakan, dan jika ahli-ahli politik bertindak lebih proaktif," kata Profesor Dyson.
Negara-negara Timur Asia seperti Korea Selatan, Malaysia, Taiwan dan Thailand, yang melancarkan program kependudukan jauh selepas India, mencapai kadar kelahiran yang rendah, mengurangkan kadar kematian bayi, meningkatkan pendapatan dan memperbaiki kemajuan hidup, lebih awal dari India.
INDIA TIDAK LAGI HIRAUKAN SOAL LEDAKAN JUMLAH PENDUDUK
India telah menambah lebih satu bilion orang sejak kemerdekaannya pada 1947, dan jumlah penduduknya dijangka bertambah buat 40 tahun lagi.
Tetapi kadar pertambahan penduduknya merosot buat beberapa dekad ini dan negara itu menyangkal keras ramalan akan berlakunya "bencana kependudukan."
Justeru, India mempunyai lebih ramai orang berbanding China, sudah tidak lagi menjadi suatu "kekhuatiran", kata pakar-pakar kependudukan.
Meningkatnya pendapatan dan keupayaan mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, telah membantu kaum wanita India memiliki kurang bilangan anak berbanding masa-masa sebelumnya.
Kadar kelahiran merosot - dua kelahiran bagi setiap wanita - di 17 daripada 22 negeri dan wilayah-wilayah yang ditadbir pemerintah persekutuan. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg