JOHOR BAHRU: Rakyat Malaysia terus diingatkan supaya memakai pelitup semasa kunjung-mengunjung sempena Hari Raya Aidilfitri bagi mengekang jangkitan Covid-19 di negara itu yang dijangka terus meningkat.
Berdasarkan trend jangkitan tempoh dua minggu, Kementerian Kesihatan berkata jumlah kes telah melonjak 87.5 peratus antara 25 Mac dengan 8 April, dan trend tersebut akan terus meningkat sepanjang sambutan Aidilfitri ini.
Terkini, penduduk di Johor yang menyambut Hari Raya Aidilfitri digalak untuk terus memakai pelitup dan mengekalkan amalan kebersihan yang baik untuk melindungi diri mereka daripada penyakit Covid-19 semasa musim perayaan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata walaupun situasi Covid-19 di negeri itu terkawal, adalah bijak untuk terus mengambil langkah berjaga-jaga apabila melawat keluarga lain.
"Mereka yang berada dalam kategori berisiko tinggi perlu memakai pelitup, terutamanya ketika menghadiri rumah terbuka semasa Hari Raya yang ada ramai orang.
"Mereka juga harus menjaga kebersihan diri dan kerap mencuci tangan," katanya.
Encik Ling berkata sebanyak 289 kes dilaporkan dalam tempoh dua minggu lalu di Johor, termasuk 13 kes pada Sabtu.
"Kami menggalak kumpulan berisiko tinggi dan mereka yang mempunyai penyakit kronik atau masalah kesihatan untuk mengambil suntikan penggalak kedua," katanya sambil menambah bahawa pengambilan dos penggalak vaksin kedua adalah pada 3.2 peratus daripada penduduk.
Beliau berkata demikian kepada wartawan pada majlis rumah terbuka Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, di kediaman rasminya di Saujana.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata kerajaan Malaysia tidak akan memperkenalkan langkah keselamatan Covid-19 semasa Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata walaupun jumlah kes Covid-19 meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tidak ada sebab untuk panik.
Pada Khamis lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menasihatkan rakyat Malaysia untuk menjalani ujian kendiri Covid-19 sebelum pulang ke kampung halaman untuk berhari raya.
Badan kesihatan itu juga menasihatkan orang ramai membawa dan menggunakan sanitiser tangan dan pelitup sebagai perlindungan bagi mengelak Covid-19 daripada merebak kepada warga emas.
Malaysia mungkin menyaksikan gelombang baru jangkitan Covid-19, dengan jumlah kes meningkat dengan mendadak menjelang Aidilfitri.
Menurut data rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jumlah kes meningkat sebanyak 87.5 peratus dalam tempoh 14 hari sehingga 8 April, manakala kemasukan ke hospital dalam tempoh yang sama meningkat sebanyak 30.5 peratus.
Kematian yang disebabkan oleh Covid-19 meningkat sebanyak 25 peratus.
Namun, Datuk Zaliha berkata sistem penjagaan kesihatan di negara itu masih tidak tertekan.
Namun, beliau menasihatkan orang ramai supaya memakai pelitup di kawasan awam yang sesak semasa sambutan Hari Raya ini.
Malaysia menarik balik kewajipan memakai pelitup dengan beberapa pengecualian pada September 2022. - The Star, The Straits Times.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg