JAKARTA: Beribu-ribu penduduk di ladang kelapa sawit wilayah Riau, Indonesia, mengadakan bantahan pada 20 November terhadap pengambilalihan ladang mereka oleh pasukan petugas perhutanan pemerintah, kata seorang penganjur kepada media.
Pasukan petugas perhutanan Presiden Prabowo Subianto, yang merangkumi anggota tentera dan pendakwa raya negeri, telah melancarkan tindakan keras terhadap ladang kelapa sawit yang dikatakan diusahakan secara haram di kawasan hutan.
Menurut industri minyak sawit, operasi mulai tahun ini dikhuatiri boleh mengganggu bekalan global.
Sekitar 3.7 juta hektar ladang telah dirampas, dengan hampir separuh dipindahkan kepada firma milik pemerintah yang baru ditubuhkan, Agrinas Palma Nusantara, mengubahnya menjadi syarikat minyak sawit terbesar di dunia berdasarkan saiz tanah terlibat.
Dalam satu perhimpunan berhampiran pejabat pendakwa raya tempatan di ibu kota Pekanbaru, sekitar 2,800 penunjuk perasaan telah menggesa pasukan petugas dan Agrinas supaya menghentikan semua operasi mereka di Riau dan menjelaskan asas perundangan pengambilalihan itu, kata Encik Abdul Aziz, setiausaha agung Kommari, satu pakatan bagi penduduk Riau.
“Harapan kami adalah mereka terlebih dahulu memastikan siapa yang berhak ke atas tanah tersebut. Mereka tidak boleh merampas tanah yang telah kami usahakan selama bertahun-tahun, selama beberapa dekad. Ini harus dibawa ke mahkamah,” kata Encik Aziz.
Naib ketua eksekutif Agrinas, Encik Kusdi Sastro Kidjan, berkata operasi pasukan petugas itu adalah berdasarkan undang-undang sedia ada, bertujuan untuk mengambil semula kawalan kawasan hutan dan menghentikan penanaman kelapa sawit secara haram.
Agrinas akan meneruskan aktivitinya di Riau dan wilayah lain di seluruh negara sambil mengekalkan piawaian tadbir urus korporat yang baik, katanya.
Pasukan petugas itu tidak segera memberi maklum balas kepada permintaan untuk mendapatkan komen.
Indonesia merupakan pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, manakala Riau merupakan wilayah teratas negara itu dari segi keluasan ladang.
Tiada data yang menunjukkan berapa banyak tanah yang telah diambil alih oleh pasukan petugas itu, dan juga tidak jelas berapa banyak yang telah diserahkan kepada Agrinas. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg