Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penerbangan SIA, Scoot antara S’pura dan Taipei terjejas Taufan ‘Kong-rey’

Lebih 400 penerbangan domestik, antarabangsa di Taiwan dibatalkan dan khidmat feri digantung
Oct 31, 2024 | 7:21 PM
Taufan Kong-rey melanda pantai timur di Taiwan. Orang ramai digesa elak pergi ke kawasan pantai dan gunung.
Taufan Kong-rey melanda pantai timur di Taiwan. Orang ramai digesa elak pergi ke kawasan pantai dan gunung. - Foto AFP

Beberapa penerbangan antara Singapura dan Taipei, ibu kota Taiwan, terjejas pada 31 Oktober 2024 apabila Taufan ‘Kong-rey’ melanda pantai timur Taiwan.

Menurut laman web Singapore Airlines (SIA), syarikat penerbangan itu perlu menjadualkan semula dua penerbangan, SQ878 dan SQ89, antara Singapura dan Taipei pada 31 Oktober disebabkan taufan itu.

Syarikat penerbangan bajet Scoot menyatakan tiga penerbangan antara Singapura dan Jepun (TR893, TR874 dan TR875) yang transit di Taipei turut dibatalkan pada 31 Oktober, menjawab pertanyaan The Straits Times.

Penerbangan TR893 seharusnya berlepas dari Chitose, Hokkaido, ke Singapura, manakala TR874 dan TR875 beroperasi antara Singapura dan Tokyo.

Scoot menyatakan ia sedang menghubungi penumpang terjejas dan meminta maaf bagi sebarang kesusahan.

“Kami akan terus memantau keadaan Taufan ‘Kong-rey’ dan menyesuaikan jadual penerbangan kami mengikut keperluan,” tambah jurucakap itu.

Lebih 400 penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan manakala semua perkhidmatan feri digantung, lapor AFP.

Ribut melanda daerah pantai timur Taitung yang bergunung-ganang dan tidak berpenduduk, menurut Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan, dengan angin kencang dan hujan lebat menjejas hampir seluruh pulau itu.

Menurut laman Tropical Storm Risk, Taufan ‘Kong-rey’ menunjukkan tanda lemah semalaman tetapi kekal berkuasa dan bersamaan taufan Kategori 4, dengan kelajuan angin lebih 250 kilometer sejam.

Pentadbiran cuaca Taiwan berkata ia bakal menjadi taufan terbesar dari segi saiz yang melanda pulau itu sejak 1996.

Sekurang-kurangnya seorang maut dan 73 cedera, menurut Agensi Bomba Negara. Mangsa adalah seorang wanita berusia 56 tahun yang meninggal dunia apabila pokok tumbang menghempap kenderaannya di daerah Nantou, kata agensi itu.

“Saya harap semua orang akan bekerjasama dalam mengelak bencana dan menahan diri daripada terlibat dalam tingkah laku berbahaya seperti menonton gelombang bersama semasa taufan,” tulis Presiden Lai Ching-te dalam satu hantaran di Facebooknya.

Semua bandar dan daerah telah mengisytiharkan cuti sehari dan pasaran kewangan tutup.

Peramal kaji cuaca, Encik Gene Huang berkata selepas memukul pantai timur, taufan itu akan menuju ke arah Selat Taiwan sebagai ribut lebih lemah, dan menggesa orang ramai di seluruh pulau itu supaya duduk di rumah kerana angin kencangnya berbahaya.

“Saiz ribut sangat besar dan angin kencang,” katanya.

Sementara itu, seorang warga Singapura, Encik Daud Mohamad, 50 tahun, tiba di Taipei sekitar 8 malam pada 30 Oktober untuk berbasikal ke Taman Negara Yangmingshan. Disebabkan taufan itu, beliau terpaksa menangguh rancangannya.

“Mujur penerbangan saya dan isteri ke Taipei tenang sahaja, tiada sebarang ribut. Namun setelah mendarat dan tiba di hotel, baru kami dapat rasakan angin semakin kencang,” ujar penolong pengarah dalam bidang teknologi kesihatan itu, apabila dihubungi Berita Harian (BH).

Menurut Encik Daud, beliau dimaklumkan mengenai taufan itu dua hari sebelum berangkat tetapi rakan-rakannya di Taipei memberi keyakinan bahawa keadaan selamat.

“Sejauh ini, hujan lebat dan angin kencang. Bunyi angin juga agak kuat dan kami hanya duduk di hotel, menunggu hingga keadaan lebih reda.

“Saya melihat penunggang motosikal di luar mengalami kesusahan menunggang dalam angin sedemikian, apa lagi jika saya berbasikal,” ujarnya, sambil menambah bahawa Oktober selalunya masa terbaik untuk berbasikal di Taipei kerana cuacanya tidak terlalu panas atau sejuk.

Memandangkan bilik hotelnya di tingkat 12, Encik Daud berkata penglihatan persekitaran juga agak kabur kerana hujan dan angin kuat yang berterusan.

“Angin yang saya alami sekarang lebih kuat jika dibandingkan dengan angin di puncak Gunung Wuling di China,” katanya yang telah mendaki gunung tersebut pada 2017.

Kelajuan angin di sekitar hotel Encik Daud telah meningkat kepada 50 kilometer sejam.

Beliau dan isterinya serta rakan-rakan mereka sedang memantau keadaan. Mereka juga telah menyiapkan makanan segera andainya kedai terus tutup.

Taufan ‘Kong-rey’ diramalkan melanda China di sepanjang pantai wilayah Fujian pada pagi 1 November.

Kawasan subtropika Taiwan kerap dilanda taufan, dengan Taufan ‘Krathon’ membunuh empat orang pada awal Oktober apabila ia melanda selatan pulau itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg