Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

KEMALANGAN PESAWAT MALAYSIA AIRLINES DI UKRAINE

Pengadilan Belanda yakin peluru berpandu buatan Russia bertanggungjawab

Jun 10, 2021 | 05:30 AM



THE HAGUE: Satu jemaah hakim Belanda kelmarin mengatakan siasatan terhadap kemalangan pesawat MH17 di Ukraine, yang dilanda perang pada 2014, menunjukkan bahawa peluru berpandu BUK buatan Russia pasti bertanggungjawab terhadap penembakan pesawat itu.



Hakim dalam perbicaraan ke atas tiga warga Russia dan seorang warga Ukraine berkaitan bencana yang mengorbankan kesemua 298 orang di dalam pesawat Malaysia Airlines itu telah mula mengemukakan bukti secara rasmi awal minggu ini.



Sekitar dua pertiga mangsa korban adalah warga Belanda.



Fragmen yang dianalisis di tempat kejadian "bersesuaian dengan peluru berpandu BUK" dan penyelidikan menunjukkan bahawa "tidak mungkin ada kesimpulan lain", kata ketua hakim Hendrik Steenhuis.



Jemaah hakim juga menunjukkan satu video yang menunjukkan kepulan asap putih naik ke langit dari sebuah ladang berhampiran Pervomaiskyi di timur Ukraine pada masa pesawat Boeing 777 itu terhempas.



Seorang saksi mengatakan mereka telah melihat satu peluru berpandu "terbang selama 20 saat sebelum meletup di sebelah kokpit kapal terbang," kata hakim.



Kapal terbang itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di bahagian timur Ukraine yang dikuasai pemberontak Ukraine yang pro-Russia.



Satu siasatan antarabangsa sebelum ini merumuskan bahawa peluru berpandu BUK yang berasal dari briged peluru berpandu antipesawat ke-53 tentera Russia yang beribu pejabat di bandar Kursk bertanggungjawab atas kejadian itu.



Pasukan peguam bela dan pegawai Russia pula berhujah ada kemungkinan lain termasuk kapal terbang awam itu ditembak jatuh oleh jet pejuang Ukraine.



Kesemua empat suspek dituduh sebagai tokoh utama dalam kalangan pemberontak pemisah yang memerangi Kiev.



Tidak ada defendan yang berada dalam tahanan. Salah seorang, warga Russia Oleg Pulatov, diwakili dalam perbicaraan itu dan mengatakan dia tidak terlibat dalam kemalangan itu.



Tiga yang lain dibicarakan tanpa kehadiran mereka dan belum melantik peguam untuk mewakili mereka semasa prosiding.



Isnin lalu, hakim menyatakan bahawa mahkamah minggu ini akan melihat bukti yang berkaitan tiga persoalan utama: apakah pesawat itu ditembak jatuh oleh BUK; lokasi peluru berpandu itu dilepaskan; dan peranan empat suspek dalam nahas itu.



Sementara itu, keluarga mangsa yang terbunuh sebelum ini menyatakan mereka bersedia mendengar perincian yang menyedihkan apabila perbicaraan kemalangan itu bermula.



"Di satu pihak, kami ingin tahu dengan tepat apa yang berlaku, mengapa ia berlaku dan siapa bertanggungjawab, tetapi harga yang perlu dibayar adalah akan ada juga maklumat yang mungkin mengejutkan," kata Encik Piet Ploeg, jurucakap bagi keluarga mangsa.



"Namun akhirnya, ia harus membawa pada keadilan dan ini termasuk kita mempunyai satu keputusan mahkamah yang berkecuali tentang siapa yang bertanggung jawab," katanya.



Encik Ploeg kehilangan abang, kakak ipar dan anak saudara lelaki dalam kejadian itu.



Pemerintah Belanda sebelum ini menyatakan Moscow bertanggungjawab namun Russia menafikan sebarang penglibatan. - AFP, Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >