Topic followed successfully
Go to BHkuPengalaman luas jadi sandaran Mat Sabu di Kementerian Pertahanan
Pengalaman luas jadi sandaran Mat Sabu di Kementerian Pertahanan
Pengalaman luas jadi sandaran Mat Sabu di Kementerian Pertahanan
KALAU mendengar cerita Mat Sabu, kita boleh gelak sampai rumah, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Komen itu menggambarkan kebolehan Encik Mohamad Sabu, yang biasa dikenal dengan panggilan Mat Sabu, berceramah dan meninggalkan kesan.
Ada yang terbuka mata apabila Mat Sabu diberi jawatan penting sebagai Menteri Pertahanan kerana beliau hanya memiliki diploma dalam Seni Kulinari daripada Institut Teknologi Mara, kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Ternyata kelayakan sijil hanya satu aspek dalam pertimbangan pelantikan jawatan tinggi.
Hakikatnya, Encik Mohamad Sabu, 63 tahun, berpengalaman luas dalam politik.
Beliau pernah menjadi Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan merupakan satu-satunya bukan daripada kalangan ulama menyandang jawatan itu dalam 25 tahun.
Beliau juga merupakan Presiden Parti Amanah Negara - satu daripada komponen Pakatan Harapan (PH) yang menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan membentuk kerajaan baru Malaysia.
Perihal Mat Sabu menjadi bualan ramai dan dikatakan paling trending di media sosial sejak diumumkan sebagai Menteri Pertahanan.
Beliau mempunyai kebolehan menyampaikan ceramah, menarik perhatian dan membakar semangat pendengarnya.
Terdapat senarai panjang video ucapannya dalam YouTube dengan wajah sengih. Antaranya Koleksi Lawak Pecah Perut Mat Sabu; Kalau Mat Sabu Cerita, Kita Boleh Gelak Sampai Rumah; dan Mat Sabu - Ayat-Ayat Power.
Ada juga video yang membezakan penguasaan bahasa Inggeris Mat Sabu dengan mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Mat Sabu bagaikan menjadi pelaris di pentas ceramah kerana gaya ucapannya yang bersahaja, dengan suara lantang, diselang-seli dengan jenaka sambil membongkar cerita-cerita panas, dan disulam dengan nilai-nilai Islam (antirasuah, antipenyelewangan).
Ceramahnya sering dicelah dengan sorakan menyokong penonton - ada kala kerana bersemangat dan berapi-api dan ada kala kerana jenaka.
Dalam satu ceramah menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bulan lalu misalnya, beliau menyebut Dr Mahathir sebagai "orang paling bahaya di Malaysia" - kerana pada usia 92 tahun berani, mampu menggembleng dan menerajui PH menjatuhkan BN di bawah mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sekali gus mencipta sejarah.
Mat Sabu juga menyanjung Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sanggup mengetepikan kepentingan peribadi demi kepentingan rakyat bagi membuat perubahan, sambil memetik tukilan terkenal yang pernah disebut Dr Mahathir bahawa dalam siasah (politik), tidak ada kawan atau musuh yang kekal, yang ada adalah kepentingan bersama.
Beliau sendiri pernah bersaing menentang Datuk Seri Anwar di Permatang Pauh tetapi kalah.
Apabila berhujah tentang kos hidup, beliau dengan bersahaja menyebut betapa ramai orang termenung selepas berbelanja di pasar kerana harga barang melambung, kerang yang jadi makanan biasa kini jadi makanan orang kaya, dan ringgit Malaysia merosot teruk hinggakan apabila ke Singapura, RM1 hanya bernilai 35 sen.
Beliau juga menghimbau betapa maruah dan ekonomi Malaysia yang pernah menjulang di pentas dunia kini jatuh dan dibebani hutang trilion ringgit.
Kesemuanya disampaikan dengan lantang dan bersemangat.
Maka itu, walaupun dilabel ahli politik kampung dengan gaya orang lama, Mat Sabu membuktikan beliau bukan sekadar memanaskan pentas ceramah.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar, berharap orang ramai tidak mempertikai kelayakan barisan kabinet Pakatan Harapan, terutama jawatan Mat Sabu.
Katanya, bukan suatu keperluan seorang menteri harus memiliki latar belakang pendidikan berkaitan portfolionya.
Ini termasuk tugas Menteri Pertahanan. Ia tidak memerlukan latar belakang ketenteraan kerana yang akan melaksanakan tugas di lapangan adalah ketua angkatan tentera yang berkelayakan.
Tugas menteri ialah memantau secara keseluruhan supaya kementerian berfungsi lancar, telus dan bebas, kata Datuk Mahfuz dalam laporan Sinar Harian.
"Yang penting tanggungjawab yang diberi itu berlandaskan keyakinan dan kemampuan," katanya.
Encik Mohamad Sabu telah lama berkecimpung dalam politik.
Beliau pernah giat dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) sebelum menyertai PAS pada 1981 dan menyandang beberapa jawatan dalam parti - Timbalan Ketua Pemuda PAS, Naib Presiden PAS dan Timbalan Presiden PAS (2013-2015).
Beliau bertanding dalam PRU 1982 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti tetapi tewas. Beliau sekali lagi tewas kepada rakan ABIM-nya, Datuk Seri Anwar, bagi kerusi Parlimen di Permatang Pauh dalam PRU 1986.
Beliau kemudian berhijrah ke Kelantan, menang dalam PRU 1990 kerusi Parlimen Nilam Puri dan kemudian kerusi Parlimen Kubang Kerian dalam PRU 1995.
Dalam PRU 1999 beliau menang di Parlimen Kuala Kedah, Kedah, tetapi tewas di Kuala Terengganu dalam PRU 2008.
Beliau kemudian keluar PAS dan menubuhkan Parti Amanah pada September 2015 dan kini menjadi presidennya.
Parti itu antara komponen PH bersama Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Beliau pernah dua kali ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) - pada 1984-1986 atas tuduhan terlibat gerakan pelampau dan 1987-1989 di bawah Operasi Lalang yang menimbulkan kekacauan isu politik.
Masa akan memperlihatkan bagaimana pakar kulinari dan ahli pidato itu mengendalikan Kementerian Pertahanan negaranya.

