Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA

Pengamat: Kos sara hidup, kewibawaan pemimpin, rasuah antara isu hangat

Nov 09, 2022 | 05:30 AM



SEDANG parti politik Malaysia memulakan kempen pilihan raya mereka sepenuhnya, isu-isu utama seperti kos sara hidup yang tinggi, kewibawaan kerajaan, dan amalan rasuah dijangka hangat diketengahkan mereka.



Penganalisis menyatakan pengundi mahu huraian berkesan berkaitan harga barangan meningkat, selain sudah bosan dengan keadaan politik tidak menentu dengan sebilangan ahli politik juga terbabit dengan rasuah.



Politik Malaysia telah berada dalam keadaan terumbang-ambing sejak pilihan raya umum lalu pada Mei 2018, dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas 22 bulan berkuasa, sedang tiga perdana menteri pula dilantik berganti-ganti ekoran perebutan kuasa.



Namun, dekat di hati rakyat dan pengundi adalah kos sara hidup yang meningkat, menjejas kehidupan mereka dengan ketara.



Felo Kanan Akademi Nusantara NASR, Profesor Azmi Hassan, berkata pengundi akan bertanya-tanya parti mana paling baik dan berkesan untuk menangani kos sara hidup.



Bagi Barisan Nasional (BN), belanjawan yang baru dibentangkan dianggap sebagai mini manifesto atau strategi fiskalnya dalam menangani kos sara hidup.



"PH masih belum memberi strategi terperinci mereka, sementara PN (Perikatan Nasional) berkata mereka akan bentangkan belanjawan lebih baik jika menjadi kerajaan, namun belum beri butiran. Jadi sejauh ini, strategi BN lebih jelas.



"Namun, saya anggap setiap pihak akan berikan strategi mereka kelak dan pengundi akan menilai strategi mana yang paling baik untuk membantu mereka dalam menangani kos sara hidup tinggi," katanya kepada Berita Harian (BH).



Zamil Kanan Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata isu ekonomi itu termasuk bagaimana negara itu boleh membangun dalam suasana ekonomi tidak menentu, baik dari segi keadaan geopolitik tidak mantap, pasca-Covid-19 dan gangguan rantaian bekalan.



"Ini dapat dilihat dari segi huraian yang diketengahkan Perdana Menteri Ismail Sabri semasa pembentangan belanjawan sebelum pembubaran Parlimen, dengan pelbagai bantuan diberi kepada setiap golongan masyarakat," katanya.



Profesor Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah, pula berkata:



"Parti pembangkang seperti PH cuba mainkan isu banjir disebabkan musim tengkujuh mendatang, namun nampaknya isu itu tenggelam.



"Mereka juga cuba tampilkan isu kapal tempur pesisir (LCS), tetapi (isunya) juga tenggelam.



"Dalam PRU15 sejauh ini, belum nampak ada isu yang begitu melekat pada sanubari rakyat seperti 1MDB (1Malaysia Development Berhad) semasa pilihan raya lalu pada 2018."



Dr Norshahril berkata isu lain yang mungkin dibangkitkan pembangkang termasuklah isu rasuah dan banjir.



"BN pula mungkin sentuh isu kepimpinan dan kemantapan politik. Isu ras dan kesatuan Melayu juga mungkin dibangkitkan.



"Saya juga berpendapat PRU kali ini berbeza dengan yang sebelumnya kerana gabungan parti boleh berubah-ubah setelah PRU15, tidak seperti dahulu. Mungkin ada gabungan-gabungan baru," ujarnya.



Mengenai isu kewibawaan kerajaan, Profesor Azmi berkata pengundi akan melihat gabungan kerajaan mana yang dinilai lebih mantap selain mempunyai anggota Kabinet berwibawa.



"Ini kerana barisan Kabinet sebelumnya baik di bawah Muhyiddin mahupun Ismail Sabri sebilangannya dilihat sebagai kurang berwibawa dan tidak berfungsi dengan baik sebagai menteri.



"Dalam hal ini, BN akan berkata mereka mempunyai pengalaman luas dalam memerintah negara, sedang PH berkata pengalaman 22 bulan memerintah negara akan menjadi sandaran mereka membentuk kerajaan berwibawa," katanya.



Beliau menambah, satu lagi isu penting adalah soal kewibawaan dan rasuah, yang selalunya diketengahkan PH, memandangkan ada sebilangan pemimpin BN yang sedang atau akan menghadapi kes mahkamah.



Sebaliknya, BN dijangka menyerang kewibawaan PH berkaitan pemerintahan mereka selama 22 bulan antaranya perihal mantan peguam negara Tan Sri Tommy Thomas berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa.



Bagi Profesor Lee, pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU15 merupakan pilihan terbaik, kerana ia mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baru.



"Kerajaan campuran, baik Tan Sri Muhyiddin atau Datuk Ismail Sabri, adalah kerajaan terbentuk hasil percaturan politik dalam kalangan ahli politik dan bukannya pilihan rakyat.



"Kerajaan seharusnya berusaha memenuhi keperluan rakyat dan bukan keperluan ahli politik. Kerana semua pihak sibuk berpolitik, banyak dasar dan matlamat penting negara sukar tercapai," katanya.



PRU15 Malaysia dijadual diadakan pada 19 November.



Kira-kira 21.17 juta rakyat Malaysia layak mengundi dengan pengundi muda, lebih 18 tahun dan ke atas, berpeluang mengundi buat kali pertama.




"Kerajaan campuran, baik Tan Sri Muhyiddin atau Datuk Ismail Sabri, adalah kerajaan terbentuk hasil percaturan politik dalam kalangan ahli politik dan bukannya pilihan rakyat.



Kerajaan seharusnya berusaha memenuhi keperluan rakyat dan bukan keperluan ahli politik. Kerana semua pihak sibuk berpolitik, banyak dasar dan matlamat penting negara sukar tercapai."



- Profesor Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah.



"Saya juga berpendapat PRU kali ini berbeza dengan yang sebelumnya kerana gabungan parti boleh berubah-ubah setelah PRU15, tidak seperti dahulu. Mungkin ada gabungan-gabungan baru."



- Zamil Kanan Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat.



"PH masih belum memberi strategi terperinci mereka, sementara PN (Perikatan Nasional) berkata mereka akan bentangkan belanjawan lebih baik jika menjadi kerajaan, namun belum beri butiran. Jadi sejauh ini, strategi BN lebih jelas."



- Felo Kanan Akademi Nusantara NASR, Profesor Azmi Hassan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >