ANTALYA, Turkey: Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) di Turkey berakhir tanpa persetujuan politik selepas rundingan berlarutan melebihi jadual, dengan Arab Saudi dituduh menggunakan pengaruhnya untuk menghalang usaha mengurangkan kebergantungan dunia terhadap bahan api fosil.

Kegagalan itu merupakan kali pertama sejak 2009 persidangan iklim tahunan berkenaan tidak mencapai persetujuan politik, sekali gus menyerlahkan perpecahan antara negara pengeluar minyak dengan negara yang mahu mempercepat peralihan kepada tenaga bersih.

Menurut beberapa perunding dari Eropah, negara pulau kecil, Amerika Latin, Asia dan Afrika, pegawai Arab Saudi mendapat akses yang lebih kerap kepada pihak penganjur persidangan, berbanding wakil negara lain.

Keadaan itu didakwa memberikan Riyadh pengaruh yang lebih besar dalam menentukan hala tuju rundingan.

Seorang perunding dari sebuah negara pulau kecil mengadu bahawa pertemuan yang dijanjikan dengan presiden bersama rundingan dari Turkey dan Australia dibatalkan berulang kali.

Sebaliknya, pegawai Arab Saudi dilaporkan kerap mengadakan pertemuan dengan pihak penganjur.

Menteri Iklim Ireland, Encik Darragh O’Brien, yang bercakap bagi pihak Kesatuan Eropah (EU), mendakwa persidangan itu dikuasai kepentingan negara pengeluar minyak.

“Saya percaya COP kali ini telah dikuasai oleh beberapa negara pengeluar minyak,” katanya kepada Reuters ketika ditanya mengenai peranan Arab Saudi dalam rundingan.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Bagaimanapun, pihak penganjur COP31 dari Turkey menafikan dakwaan bahawa negara tertentu diberikan layanan istimewa.

Menurut kenyataannya, tiada negara atau kumpulan diberikan keutamaan dalam rundingan.

Wakil Arab Saudi dan Australia pula tidak memberikan sebarang ulasan segera berhubung dakwaan tersebut.

Punca utama kebuntuan ialah keengganan Arab Saudi menerima sebarang kenyataan dalam dokumen akhir yang menyebut keperluan mengurangkan penggunaan bahan api fosil.

Minyak, gas dan arang batu merupakan antara penyumbang utama kepada pelepasan gas rumah hijau yang menyebabkan pemanasan global.

EU, beberapa negara pulau kecil dan negara yang paling terdedah kepada kesan perubahan iklim menegaskan mereka tidak boleh menerima perjanjian yang langsung tidak menyebut bahan api fosil.

Arab Saudi dan negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) sejak sekian lama menentang usaha menyasarkan bahan api fosil dalam perjanjian iklim antarabangsa.

Mereka berpendapat minyak dan gas masih diperlukan sebagai sebahagian daripada bekalan tenaga dunia untuk tempoh yang panjang.

Bagaimanapun, bahan api fosil pernah disebut secara jelas dalam dokumen persidangan COP26 di Glasgow pada 2021 dan COP28 di Dubai pada 2023.

Menurut beberapa perunding, kedudukan Arab Saudi kali ini menjadi lebih kukuh berikutan ketiadaan penglibatan aktif Amerika Syarikat dalam COP31.

Selain itu, kerjasama rapat antara Washington dengan Beijing yang sebelum ini membantu mencapai kompromi dalam rundingan iklim juga tidak kelihatan.

Pada awalnya, COP31 dijangka memberi tumpuan kepada pelaksanaan perjanjian iklim terdahulu bagi mengelakkan kesan paling buruk pemanasan global.

Turkey selaku tuan rumah turut berusaha mendapatkan komitmen negara peserta untuk memperluas penggunaan tenaga elektrik.

Namun, perpecahan semakin ketara selepas pihak penganjur mengeluarkan draf perjanjian baharu yang menggugurkan semua rujukan kepada bahan api fosil.

Sepanjang minggu kedua rundingan, Arab Saudi dilaporkan tetap berkeras bahawa dokumen akhir tidak boleh menyebut bahan api fosil.

Riyadh sebaliknya mahu dokumen itu memberikan penekanan kepada teknologi pemerangkapan karbon yang bertujuan mengurangkan pelepasan gas daripada penggunaan bahan api berkenaan.

Seorang perunding dari Asia berkata Arab Saudi menganggap pendirian tersebut sebagai sesuatu yang tidak boleh dirunding.

EU juga mengambil pendirian tegas dengan menolak sebarang perjanjian yang dianggap terlalu lemah.

Pesuruhjaya Iklim EU, Encik Wopke Hoekstra, berkata pihaknya hanya akan menerima perjanjian yang benar-benar bermakna.

“Sama ada kita mendapat perjanjian yang baik atau tiada perjanjian langsung,” katanya pada Sabtu.

Dalam usaha memecahkan kebuntuan, Jerman mengadakan pertemuan dengan negara pulau kecil dan anggota Gabungan Cita-Cita Tinggi (High Ambition Coalition).

Gabungan itu merangkumi negara yang terdedah kepada perubahan iklim, beberapa negara Afrika serta negara maju termasuk Singapura dan Canada.

Mereka kemudian menghasilkan sepucuk surat yang mendapat sokongan kira-kira 130 negara.

Surat itu menegaskan bahawa sebarang perjanjian COP31 mesti menyebut secara jelas usaha beralih daripada penggunaan bahan api fosil.

Bagaimanapun, ketika rundingan berlanjutan hingga awal Ahad, pegawai Arab Saudi, China dan Russia dilaporkan kerap mengunjungi pejabat pihak penganjur.

Pada masa yang sama, wakil beberapa kumpulan negara lain menghadapi kesukaran mendapatkan pertemuan dengan pihak berkenaan.

Apabila draf perjanjian yang disemak akhirnya diedarkan pada awal 22 November, banyak negara menyuarakan kemarahan.

Dokumen itu masih tidak menyebut bahan api fosil, selain mengekalkan sokongan kuat terhadap teknologi pemerangkapan karbon.

Menteri Iklim Tuvalu, Maina Talia, mempersoalkan sama ada pandangan negara yang terdedah kepada perubahan iklim benar-benar diambil kira.

“Nampaknya seolah-olah kita sedang berunding dengan Arab Saudi,” katanya.

Ketika rundingan memasuki hari terakhir, semakin ramai perunding mula membincangkan kemungkinan COP31 berakhir tanpa sebarang persetujuan politik.

Keadaan menjadi lebih mendesak apabila sebahagian perwakilan mula meninggalkan Antalya untuk menaiki penerbangan pulang.

Pada sidang penutup petang 22 November, Presiden COP31, Encik Murat Kurum, mengakui bahawa negara peserta masih gagal mencapai kata sepakat.

Beliau kemudian mengesahkan bahawa pihak penganjur tidak akan mengemukakan sebarang draf perjanjian baharu.

Kegagalan itu menimbulkan persoalan mengenai kemampuan rundingan iklim antarabangsa mencapai kemajuan apabila kepentingan ekonomi negara pengeluar minyak bertembung dengan usaha menangani pemanasan global.

Menteri Iklim Denmark, Cik Samira Nawa, berkata keputusan COP31 memberikan gambaran bahawa negara pengeluar minyak mempunyai pengaruh lebih besar berbanding negara yang mahu mempercepat peralihan kepada tenaga rendah karbon.

“Apabila bahan api fosil langsung tidak boleh disebut dalam dokumen utama, nampaknya negara pengeluar minyak mempunyai suara yang lebih besar dalam COP kali ini,” katanya. – Reuters

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti