JAKARTA: Pemimpin Parti Golkar merancang mengadakan mesyuarat pada 13 Ogos untuk melantik pemangku pengerusi, selepas Encik Airlangga Hartarto meletak jawatan secara mengejut pada 11 Ogos.
Encik Airlangga, yang kini menteri penyelaras bagi hal ehwal ekonomi, mengumumkan peletakan jawatannya dalam satu mesej video.
Beliau hanya menyatakan keputusannya dibuat “demi kepentingan memastikan peralihan kuasa lancar dalam pemerintah dan memelihara perpaduan Parti Golkar”, lapor Jakarta Post.
Golkar menyokong pentadbiran Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, yang akan berundur dan merupakan sebahagian daripada gabungan Koalisi Indonesia Maju (KIM) pimpinan Parti Gerindra di sebalik kemenangan bakal presiden, Encik Prabowo Subianto, dan naib presiden, Encik Gibran Rakabuming Raka, anak sulung Encik Jokowi.
Berita peletakan jawatan Encik Airlangga mengejutkan di tengah-tengah perebutan kuasa yang berterusan dalam bakal pentadbiran Encik Prabowo, yang bermula tidak lama selepas pilihan raya Februari, dengan parti-parti dalam KIM mendakwa telah bekerja keras semasa kempen dan menyumbang paling banyak kepada kemenangan gemilang Encik Prabowo.
Laporan muncul pada Mei bahawa Encik Airlangga dan pengerusi Parti Amanat Nasional (PAN), Encik Zulkifli Hasan, bersaing bagi portfolio sama dalam Kabinet Encik Prabowo, iaitu menteri tenaga dan sumber mineral.
Encik Zulkifli sekarang adalah menteri perdagangan.
Encik Airlangga menafikan persaingan itu, namun perselisihan faham antara Golkar dan ahli KIM yang lain berterusan mengenai calon yang akan dicalonkan oleh gabungan tersebut bagi pemilihan gabenor pada November di wilayah strategik Jakarta, Jawa Barat dan Banten.
Peletakan jawatan mengejut Encik Airlangga mencetuskan persoalan dalam kalangan penganalisis mengenai hasratnya dan sama ada terdapat kuasa lebih besar yang memaksa beliau meletak jawatan, terutamanya selepas laporan muncul awal 2024 bahawa Encik Jokowi sedang berusaha untuk meletak sekutu utamanya di teraju Golkar dan mendapatkan kedudukan untuk dirinya sebagai ketua lembaga penasihat parti itu.
Timbalan Pengerusi Golkar, Encik Ahmad Doli Kurnia, pada 11 Ogos menafikan spekulasi mengenai adanya tekanan luar memaksa Encik Airlangga meletak jawatan, lapor Jakarta Post.
Eksekutif Golkar segera merancang satu mesyuarat tergempar untuk menentukan tarikh kongres nasional, apabila pengerusi baru akan dipilih, kata Encik Agung Laksono, ketua dewan pakar Golkar, lapor Jakarta Globe.
Beliau berkata Golkar mesti mendapatkan pengganti Encik Airlangga segera kerana pilihan raya gabenor, bupati dan datuk bandar serentak di seluruh Indonesia semakin hampir.
Menurutnya, Menteri Perindustrian, Encik Agus Gumiwang, antara eksekutif Golkar yang akan dicalonkan sebagai pemangku pengerusi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg