Pengganas Malaysia ditangkap di Filipina

MANILA: Pegawai keselamatan Filipina menangkap seorang rakyat Malaysia yang disyaki membantu melatih militan kumpulan pengganas Abu Sayyaf membuat bom.

Kolonel Cirilo Donato, komander Briged Infantri ke-104 Tentera Darat, berkata pada Selasa (25 Okt) Ahmad Tarmizi Muhamad Sayoti ditangkap awal bulan ini di sebuah pelabuhan di bandar Maluso di Basilan, 880km ke selatan Manila, ketika cuba menyelinap balik ke Malaysia.

Jurucakap tentera, Brigadier-General Restituto Padilla, berkata pada Rabu (26 Okt) Ahmad Tarmizi sedang disiasat oleh unit antipengganasan elit polis nasional.

Kol Donato berkata dia dijejak menggunakan petunjuk yang diberi orang awam yang melihat dia bersenjata dan mengibarkan bendera hitam kumpulan pengganas Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS) di kem Abu Sayyaf di kampung Baguindan, di bandar Tipo-Tipo, juga di Basilan.

Tentera merampas kem itu Ogos lalu.

Kol Donato berkata Ahmad Tarmizi ditangkap sedang dia hendak menaiki bot yang akan membawanya ke Malaysia. Dia mempunyai bahan membuat alat letupan ketika ditangkap.

Di Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan pada Rabu bahawa Ahmad Tarmizi rakyat Malaysia dan dari Kelantan, dan dia "seorang penyokong perjuangan Islam di Selatan Filipina".

Sebuah kumpulan pemikir berpangkalan di Jakarta, Institut Analisis Dasar Konflik (Ipac), melaporkan pada Selasa bahawa Abu Sayyaf dan tiga kumpulan Islam lain di Mindanao mendapat pembiayaan dan latihan daripada militan ISIS di Malaysia dan Indonesia.

Sebagai balasan, militan itu mendapat perlindungan di kem militan yang tersebar di Mindanao.

Ia berkata pengeboman pada 2 September lalu ke atas pasar malam popular di bandar tempat tinggal Presiden Rodrigo Duterte, Davao, di Mindanao, yang membunuh 15 orang, dilakukan kumpulan-kumpulan itu.

Pada 4 Okt, pegawai keselamatan menangkap tiga suspek daripada kumpulan Maute yang diajar membuat bom oleh seorang pengganas Malaysia, Zulkifli Hir, alias Marwan, yang terbunuh dalam satu serbuan polis Januari lalu.

Pengeboman itu satu usaha memenangi sokongan ISIS dan menggagalkan serangan tentera terhadap Abu Sayyaf di Sulu dan Basilan, menurut pegawai keselamatan.

Galeri Foto