Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Pengganti Muhyiddin jadi tanda tanya

Kekal sebagai Perdana Menteri sementara sehingga calon baru dilantik
Aug 17, 2021 | 05:30 AM



KETIADAAN calon yang menerima sokongan majoriti secara jelas menyebabkan krisis politik di Malaysia menjadi lebih rumit dan lebih berteka-teki dengan mata ramai kini tertumpu kepada keputusan dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik seorang perdana menteri yang baru selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin.



Penganalisis Kanan Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin, dalam penilaiannya kepada Berita Harian semalam, berkata dua faktor utama menyumbang kepada kegagalan Tan Sri Muhyiddin untuk mengekalkan kedudukannya:



  • Menangani pandemik Covid-19 sebaik mungkin yang kini mencecah lebih 20,000 kes jangkitan dalam sehari sejak awal bulan ini; dan,

  • Ketidakupayaannya mengukuhkan sokongan Umno terhadapnya dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Beliau tersembam di sudut yang tidak membolehkannya bangkit lagi. Pelbagai tawaran yang diumumkan dan dijanjikan bagi meneruskan hayat kedudukannya sebagai perdana menteri juga telah ditolak Umno dan parti-parti lain.



"Jadi Muhyiddin tiada pilihan lain kerana jika dia berkeras mahu meneruskan undi percaya di parlimen bulan depan, beliau akan lebih malu sekiranya gagal mendapat sokongan majoriti. Jadi peletakan jawatan adalah jalan terbaik.



"Cuma pada masa ini, tiada satu pun daripada nama-nama yang diketengahkan sekarang mempunyai sokongan majoriti. Persoalannya, apakah boleh diwujudkan satu kerajaan minoriti?" kata Dr Mustafa.



Sejauh ini tiga nama telah disebut-sebut sebagai calon perdana menteri sementara, sehinggalah satu pilihan raya umum diadakan pada Julai tahun depan, seperti dinyatakan Tan Sri Muhyiddin minggu lalu.



Mereka ialah:



  • Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob, yang menduduki jawatan timbalan perdana menteri dalam Kabinet PN

  • Ahli Parlimen Gua Musang juga mantan menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah; dan

  • Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya lebih berasakan Datuk Seri Ismail sebagai berpeluang dilantik sebagai perdana menteri menggantikan Muhyiddin, kerana beliau dirasakan mampu menarik sokongan Umno dan ahli-ahli parlimen dari gagasan PN.



"Bagaimanapun kita tidak menolak kemungkinan Tengku Razaleigh dilantik kerana disifatkan punya ketokohan dan 'gravitas' (ketrampilan) untuk memimpin dan beliau mendapat sokongan Umno pada masa ini.



"Di pihak pembangkang pula, kita tahu Pakatan Harapan memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar tetapi saya tidak rasa beliau dapat mendapat sokongan dari Umno, jadi selagi sokongan untuknya tidak memenuhi keperluan majoriti, adalah payah untuknya menduduki jawatan itu," katanya lagi.



Dalam pada itu Dr Mustafa juga berkata, mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) diketahui tidak berminat menjadi perdana menteri tetapi bersedia meninggalkan parti itu dan mengetuai Majlis Gerakan Negara (Mageran) bagi menangani pandemik Covid-19.



"Kini segalanya terpulang kepada Agong untuk memutuskan langkah selanjutnya dan ini perlu dilakukan segera," ujarnya.



Menurut pakar geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Azmi Hassan, dalam perbincangan oleh Malaysia Gazette semalam, beliau berpendapat Tengku Razaleigh adalah calon yang sesuai memandangkan "beliau seorang yang berpengalaman dalam kepimpinan pentadbiran kerajaan dan sepak terajang politik" dan "mendapat sokongan dwipartisan atau dari kesemua pihak".



Menyentuh soal pembentukan kerajaan minoriti ataupun 'caretaker goverment', Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UTM), Profesor Dr Shamrahayu A Aziz, dalam catatannya di blog peribadinya kelmarin, menjelaskan istilah 'interim' yang digunakan tiada dalam Perlembagaan atau undang-undang Malaysia.



Menurutnya, andai mahu digunakan istilah 'interim' dalam dimensi perundangan negara Malaysia, kerajaan seperti ini ditubuhkan semasa keadaan darurat yang pada ketika itu tiada kerajaan sah sedia ada.



"Dalam konteks ini, kerajaan interim bukan sebuah kerajaan sementara dalam erti 'caretaker government' yang ditubuhkan semasa Parlimen bubar dan mempunyai fungsi dan kuasa yang terhad," terangnya.



Jelas beliau, apa yang ada dalam Perlembagaan Malaysia ialah, sekiranya sesebuah kerajaan ditubuhkan oleh kerana gagal atau jatuhnya sebuah kerajaan, tetapi Parlimen tidak dibubarkan, maka ia adalah satu kerajaan seperti mana juga kerajaan ditubuhkan selepas pilihan raya.



"Sekiranya kita mahu menggunakan istilah kerajaan atau Perdana Menteri interim, ia adalah merujuk kepada tempoh masa sementara. Ia bukan kerajaan yang terhad dari segi fungsi atau kuasanya.



"Ia tidak seperti 'caretaker government' atau kerajaan sementara yang ditubuhkan semasa Parlimen bubar.



"Pada pandangan saya, istilah interim tidak tepat untuk digunakan kerana (sekiranya) kerajaan baru ditubuhkan akibat Perdana Menteri meletak jawatan, ia bukan kerana berlakunya keadaan darurat atau wujudnya kekecohan atau gangguan kepada keselamatan sebagaimana kebiasaan di negara lain.



"Penggunaan istilah yang tepat amat penting agar ia tidak menimbulkan silap faham sekiranya kerajaan baru ditubuhkan kemudian nanti," ujar beliau.




"Beliau tersembam di sudut yang tidak membolehkannya bangkit lagi. Pelbagai tawaran yang diumumkan dan dijanjikan bagi meneruskan hayat kedudukannya sebagai perdana menteri juga telah ditolak Umno dan parti-parti lain.

Jadi Muhyiddin tiada pilihan lain kerana jika dia berkeras mahu meneruskan undi percaya di parlimen bulan depan, beliau akan lebih malu sekiranya gagal mendapat sokongan majoriti. Jadi peletakan jawatan adalah jalan terbaik.

Cuma pada masa ini, tiada satu pun daripada nama-nama yang diketengahkan sekarang mempunyai sokongan majoriti. Persoalannya, apakah boleh diwujudkan satu kerajaan minoriti?"


- Dr Mustafa Izzuddin, Penganalisis Kanan Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies Singapore.



"Dalam konteks ini, kerajaan interim bukan sebuah kerajaan sementara dalam erti 'caretaker government' yang ditubuhkan semasa Parlimen bubar dan mempunyai fungsi dan kuasa yang terhad.

Sekiranya kita mahu menggunakan istilah kerajaan atau Perdana Menteri interim, ia adalah merujuk kepada tempoh masa sementara. Ia bukan kerajaan yang terhad dari segi fungsi atau kuasanya...

...Pada pandangan saya, istilah interim tidak tepat untuk digunakan kerana (sekiranya) kerajaan baru ditubuhkan akibat Perdana Menteri meletak jawatan, ia bukan kerana berlakunya keadaan darurat atau wujudnya kekecohan atau gangguan kepada keselamatan sebagaimana kebiasaan di negara lain."


- Profesor Dr Shamrahayu A Aziz, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UTM).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >