Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penggodam disyaki curi data vaksin Covid-19 milik Pfizer, BioNTech

Dec 11, 2020 | 5:30 AM
SISTEM DIGODAM: Sistem Agensi Perubatan Eropah (EMA) kelolaan Kesatuan Eropah (EU) telah digodam lalu dipercayai mengakibatkan dokumen sulit tentang Covid-19 oleh Pfizer dan BioNTech diakses secara terlarang. - Foto EPA-EFE
SISTEM DIGODAM: Sistem Agensi Perubatan Eropah (EMA) kelolaan Kesatuan Eropah (EU) telah digodam lalu dipercayai mengakibatkan dokumen sulit tentang Covid-19 oleh Pfizer dan BioNTech diakses secara terlarang. - Foto EPA-EFE -

LONDON: Pengilang ubat yang berpangkalan di Amerika Syarikat Pfizer dan rakan kerjasamanya di Jerman BioNTech berkata bahawa dokumen mereka berkaitan perkembangan vaksin Covid-19 telah "diakses secara terlarang" kelmarin.

Pencurian maya itu dipercayai berlaku dalam insiden serangan siber yang ditujukan kepada penguasa perubatan Eropah, Agensi Perubatan Eropah (EMA).

Sebelum itu, EMA yang berperanan menganalisis ubat-ubatan dan vaksin buat kegunaan warga Kesatuan Eropah (EU) berkata mereka menjadi sasaran satu serangan siber. Mereka tidak berkongsi butiran lanjut tentang serangan itu.

Sungguhpun demikian, Pfizer dan BioNTech yakin tiada data peribadi peserta uji kaji vaksin telah dicuri. Menurut mereka, pihak EMA memberi jaminan bahawa serangan siber tersebut tidak akan menjejas tempoh penilaian vaksin.

Buat masa ini, belum dijelaskan masa dan cara serangan dilakukan, dalangnya dan maklumat lain yang diperolehi.

Dua syarikat tersebut menambah bahawa mereka telah dimaklumkan oleh pihak EMA bahawa agensi itu berhadapan dengan serangan siber dan beberapa dokumen berkaitan penyerahan mereka telah dibaca.

Menurut pakar, dokumen sedemikian sangat berharga kepada negara dan syarikat lain yang turut bergegas menghasilkan vaksin.

Encik Marc Rogers, pengasas kumpulan relawan melawan kegenjotan berkaitan Covid-19 bernama CTI-League, berkata:

"Bersangkutan data yang diserahkan kepada badan penguasa seperti ini, kita sebenarnya sedang menyentuh perihal maklumat sulit tentang vaksin dan cara vaksin itu berfungsi, keberkesanannya, risiko, kesan sampingan dan ciri lain seperti cara mengendalikannya.

"Dokumen sedemikian juga menampilkan maklumat terperinci tentang pihak lain yang terlibat dalam pembekalan dan pengedaran vaksin itu, sekali gus meningkatkan kebarangkalian maklumat dicuri.

"Vaksin baharu sangat bernilai kepada ramai pihak, dari segi peluang yang ditawarkan kepada nilai di pasaran. Justeru maklumat tentang vaksin dan sebarang akses terhadap pelbagai lapisan dalam rantaian perbekalan betul-betul berharga."

Lanjutan daripada itu, Pfizer dan BioNTech menekankan bahawa sistem masing-masing tidak dicerobohi bersangkutan serangan ke atas EMA. Jurucakap BioNTech dan Pfizer enggan mengulas selanjutnya.

Vaksin Pfizer-BioNTech antara peneraju utama dunia dalam usaha menghapuskan wabak Covid-19, malah sudah pun mula digunakan di Britain.

EMA dijangka menamatkan penilaian ke atas vaksin berkenaan pada 29 Disember tetapi keadaan boleh berubah.

Berkaitan serangan siber itu, kenyataan EMA tidak menghuraikannya secara mendalam. Mereka hanya berkata bahawa siasatan pihak berkuasa kini diteruskan.

Pihak berkuasa dan pegawai keselamatan siber Amerika juga tidak memberi ulasan lanjut.

Sepanjang tempoh pandemik ini, usaha menggodam sistem pelbagai institusi penjagaan kesihatan dan perubatan didapati telah berlipat ganda.

Dalangnya datang daripada pelbagai latar belakang misalnya ejen perisik yang disokong sesebuah negara kepada penjenayah siber yang memburu maklumat.

Sebelum ini, akhbar Reuters melaporkan tentang dakwaan bahawa penggodam sudah beberapa kali cuba mendapatkan maklumat tentang virus serta rawatan sesuai. Reuters turut mendokumentasikan usaha pengintipan yang menyasarkan syarikat farmaseutikal dan penghasil vaksin seperti Gilead, Johnson & Johnson, Novavax dan Moderna.

Setakat ini, virus yang kali pertama timbul di China lewat 2019 itu telah menjangkiti lebih 68 juta orang di dunia, mengikut tinjauan Reuters. Lebih 1.5 juta orang terkorban. - Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg