Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Penggubal undang-undang Pakistan sedia pilih Sharif sebagai PM baru

Susuli penyingkiran Imran Khan melalui undi tidak percaya
Apr 12, 2022 | 05:30 AM



ISLAMABAD: Penggubal undang-undang Pakistan semalam bersedia memilih ketua pembangkang, Encik Shehbaz Sharif, sebagai perdana menteri selepas bekas bintang kriket, Encik Imran Khan, disingkirkan dalam satu undi tidak percaya yang menamatkan kepimpinannya selama empat tahun.



Satu gabungan pembangkang bersatu dengan jumlah 174 anggota parlimen (AP) untuk mengundi menentang Encik Khan selepas tengah malam kelmarin di Islamabad, lebih dua undi daripada yang diperlukan untuk memecatnya daripada jawatan perdana menteri.



Parlimen dijadual bersidang semula semalam untuk memilih penggantinya, dengan Encik Khan terus membuat dakwaan kepada penyokongnya agar menentang apa yang disebutnya sebagai "perubahan pemerintah yang disokong Amerika Syarikat".



Penyingkiran Encik Khan berlaku selepas pertembungan dengan tentera Pakistan dalam pelbagai isu, termasuk campur tangan dalam kenaikan pangkat ketenteraan, hubungan kurang baik dengan Amerika dan pengurusan ekonomi yang menyaksikan inflasi meningkat pada kadar kedua terpantas di Asia.



Tentera Pakistan telah memerintah negara itu selama hampir separuh daripada pembentukan negara itu selama 75 tahun, dan tiada perdana menteri menamatkan penggal penuh sepanjang masa itu.



Perubahan politik di negara kelima paling ramai penduduk di dunia itu berkemungkinan segera menukar semula dasar luar Pakistan kepada lebih cenderung kepada Amerika dan Eropah.



Encik Khan telah menukar dasar luar Pakistan supaya lebih dekat kepada Russia dan China, dan cuba mensabotaj undi tidak percaya dengan mendakwa pentadbiran Presiden Amerika, Encik Joe Biden, berkomplot dengan pembangkang untuk menyingkirkannya daripada kuasa.



Namun, pemerintah pimpinan Encik Sharif berkemungkinan membantu mendapatkan baki kira-kira AS$3 bilion ($4.1 bilion) daripada pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang diperlukan untuk meningkatkan rizab asing dan mata wang negara itu.



Encik Sharif mempunyai reputasi sebagai pentadbir mesra perniagaan yang mendorong projek prasarana bercita-cita tinggi semasa beliau menjadi ketua menteri Punjab, wilayah paling ramai penduduk di Pakistan.



Beliau mengekalkan hubungan baik dengan tentera walaupun abangnya, perdana menteri tiga kali, Encik Nawaz Sharif, sering bertelagah dengan jeneral, dan kini mengasingkan dirinya di London.



"Tiada pemimpin tertinggi pembangkang Pakistan yang mempunyai hubungan lebih rapat dengan tentera selain Shehbaz," kata Encik Michael Kugleman, sekutu kanan bagi Asia Selatan di Wilson Center yang berpangkalan di Washington.



"Beliau mengelak konfrontasi dengan tentera dan cuba tidak terlibat dalam sebarang pertelingkahan, dan ini membantu beliau menikmati status baik dengan tentera."



Sebelumnya, penentang Encik Khan menuduh tentera membantunya memenangi pilihan raya 2018 yang kemudian terselamat daripada beberapa percubaan parlimen untuk menyingkirkannya daripada kuasa.



Namun, Encik Khan berselisihan dengan sebilangan jeneral utama tahun lalu selepas beliau secara terbuka membantah pilihan ketua tentera, Encik Qamar Javed Bajwa, untuk mengendalikan agensi perisikan utama Pakistan.



Encik Khan tidak berdiam diri. Pada malam Ahad, penyokong partinya, Pakistan Tehreek-e-Insaf, berhimpun di seluruh negara, yang menurut beliau adalah bukti rakyat menolak penyingkirannya.



Encik Khan berulang kali menggesa pilihan raya baru, yang mesti diadakan menjelang Ogos 2023.



Hujung minggu lalu, parti Encik Khan mengejutkan Pakistan apabila seorang sekutunya membatalkan undi tidak percaya dengan dakwaan adanya campur tangan asing, dengan Encik Khan kemudiannya mengarah diadakan pilihan raya baru.



Pembangkang Pakistan menggelar tindakan itu sebagai khianat, kerana perlembagaan tidak membenarkan parlimen dibubarkan semasa perdebatan undi tidak percaya.



Mahkamah Agung Pakistan kemudiannya menolak alasan Encik Khan untuk membatalkan undi itu dan mengarahkan usul itu diteruskan pada Sabtu, dengan kekalahan kepada pihak Encik Khan. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >