KUALA LUMPUR: Majlis Peguam Malaysia menegaskan satu penghakiman berbeza dalam semakan kes SRC International membabitkan bekas perdana menteri Najib Tun Razak baru-baru ini bukan alasan untuk semakan atau perbicaraan semula pada masa hadapan.
Presidennya, Cik Karen Cheah, berkata semua pihak perlu faham bahawa satu penghakiman berbeza dalam sistem perundangan Malaysia hanya satu perbezaan pendapat dan penghakiman majoriti yang diguna pakai.
"Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa sebarang tafsiran lain akan menjadi songsang dan menyalahgunakan proses mahkamah.
"Oleh itu, percubaan berterusan untuk mengeksploitasi penghakiman minoriti untuk membingungkan orang ramai mengenai prinsip-prinsip undang-undang yang kukuh dalam sistem keadilan.
"Kita hanya akan menyumbang kepada usaha merosakkan keyakinan yang diletakkan oleh kita semua terhadap kehakiman sebagai institusi yang dihormati," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Cik Cheah menegaskan perlu ada kepastian dalam hal litigasi dan struktur undang-undang harus memastikan perkara tersebut.
Jika pendapat minoriti menyebabkan semakan semula, maka tidak akan berlaku kesudahan untuk litigasi.
"Ia juga akan membuka pintu kepada peguam dan hakim yang terdedah kepada 'strategi yang tidak menyenangkan' atau 'pengaruh luar' hanya untuk menyebabkan situasi semakan semula dan menghalang jalannya keadilan," katanya.
Cik Cheah berkata keputusan majoriti empat berbanding satu terhadap Encik Najib juga bermakna kes SRC International harus dianggap res judicata, bermakna ia sudah diadili mahkamah yang berwibawa.
Pada Jumaat, Mahkamah Persekutuan dalam penghakiman majoriti 4-1, menolak permohonan Encik Najib untuk menyemak sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ($63.27 juta) kerana menyeleweng dana SRC International sebanyak RM42 juta.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli, yang mengetuai panel lima hakim, tidak bersetuju dengan keputusan itu.
Menyusuli itu, Encik Najib mengemukakan penghakiman berbeza oleh Hakim Datuk Abdul Rahman itu kepada Yang di-Pertuan Agong dalam permohonan petisyen pengampunannya.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata dalam permohonan petisyen pengampunan pihaknya menyatakan Encik Najib tidak diberi perbicaraan adil dan rayuannya langsung tidak didengar di Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022, serta panel hanya mendengar hujahan pendakwaan (sebelah pihak).
Tan Sri Shafee berkata penghakiman berbeza itu sudah dimasukkan dalam permohonan untuk mendapatkan pengampunan diraja dan ia akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong minggu ini.
Encik Najib, 69 tahun, sekarang menjalani hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg