Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

LINGKARAN ASIA

Penghasilan mikrocip di Taiwan terhambat dek Covid-19, kemarau

Jun 21, 2021 | 05:30 AM



SEDANG dunia menghadapi kekurangan bekalan mikrocip yang meruncing, Taiwan, antara pengeluar mikrocip terbesar dunia, menghadapi dua cabaran yang membataskan penghasilan cip.



Bahan cip itu begitu didambakan banyak perniagaan termasuk pembuatan kereta, komputer, telefon bijak dan sebagainya.



Pulau dengan penduduk sekitar 23.5 juta itu kini bukan sahaja menghadapi wabak penularan Covid-19 yang menjejas tempat kerja dan pekerja, bahkan menghadapi musim kemarau terburuk dalam beberapa dekad - menjejas bekalan air yang diperlukan dalam kilang pembuat cip.



Dwicabaran itu telah menimbulkan ketidaktentuan ekonomi pulau itu sebagai pemain utama dalam pembuatan mikrocip.



Kekurangan bekalan cip di peringkat antarabangsa telah menjejas sebilangan syarikat pembuat kenderaan, dengan ada terpaksa menghentikan operasi mereka buat sementara.



Setahun lalu, Taiwan merupakan model pengurusan Covid-19 yang cemerlang dengan negara itu melaporkan bilangan kecil kes jangkitan.



Namun, sejak beberapa bulan lalu, ia mengalami lonjakan kes yang tinggi, selepas penularan satu kelompok membabitkan juruterbang dikesan dan menjadi lebih serius.



Secara tiba-tiba, daripada hampir sifar kes, bilangan jangkitan naik kepada tiga angka, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa penularan serius itu boleh menjejas pembuatan mikrocip di situ dan memburukkan lagi kekurangan bekalan cip pada peringkat sejagat.



Malah, baru-baru ini, satu syarikat pembuat cip utama di Taiwan, King Yuan Electronics, mengumumkan ia terpaksa menghentikan operasinya selama dua hari selepas beberapa pekerjanya didapati positif Covid-19 - kali pertama pandemik itu secara langsung menjejas syarikat pembuat cip di Taiwan.



Antara pelanggan utama syarikat itu termasuk Intel dan Samsung Electronics, lapor Reuters.



Syarikat King Yuan juga terletak di taman sains Hsinchu, di mana terletaknya beberapa syarikat pembuat utama cip besar dunia termasuk penghasil terbesar Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC).



Untuk menangani kes jangkitan tinggi, Taiwan telah meningkatkan program ujian dan vaksinasi Covid-19 bagi pekerja sektor teknologinya dalam usaha menghentikan lonjakan mendadak dalam kes koronavirus yang melanda industri semikonduktornya.



Di beberapa taman sains di utara bandar Hsinchu, pegawai tempatan membangunkan tapak bagi melakukan ujian pantas, lapor AFP.



"Taman Sains Hsinchu adalah ibu pejabat beberapa kilang semikonduktor global yang amat penting," kata Datuk Bandar Lin Chih-chien.



"Bandar Hsinchu harus melindungi bukan hanya penduduknya, bahkan melindungi industri semikonduktor terpenting di dunia."



Taiwan sedang gigih memerangi wabak koronavirus, dengan pegawai kesihatan mahu mengesan sebarang kelompok dalam sektor teknologi sebelum ia menular.



Baru-baru ini pula, kementerian kesihatan Taiwan diberi suntikan dana tambahan NT$79.2 bilion ($3.8 bilion) untuk memerangi pandemik Covid-19, termasuk untuk membeli vaksin.



Kabinet Taiwan mengatakan wang tambahan itu adalah bagi kementerian kesihatan membeli dan menguji vaksin, ubat-ubatan dan membantu meningkatkan pemantauan dan pengujian virus, lapor Reuters.



Taiwan telah menempah jutaan vaksin, tetapi sejauh ini hanya menerima sebilangan kecil tempahan itu yang hanya dapat menyuntik dos pertama kepada peratusan kecil penduduk pulau itu.



Namun, baru-baru ini, Taiwan menerima derma berupa vaksin dari Jepun sebanyak 1.24 juta vaksin, dan lagi 750,000 dari Amerika Syarikat.



Menteri Luar Jepun, Encik Toshimitsu Motegi, mengatakan kepada wartawan bahawa Jepun memberi sekitar 1,24 juta dos vaksin AstraZeneca itu secara percuma.



Beliau menegaskan bahawa Taiwan sangat memerlukan vaksin kerana penularan Covid-19 tempatan sedang penghasilan domestiknya tidak akan meningkat hingga Julai.



"Kami memutuskan memberi bekalan vaksin ini berdasarkan kerjasama penting kami dengan Taiwan dan persahabatan kami," jelas Encik Motegi.



Sementara itu, selain cabaran koronavirus, Taiwan juga sedang menghadapi musim kemarau terburuk dalam beberapa dekad setelah tidak ada taufan langsung melanda pulau itu tahun lalu - bermakna air hujan yang banyak berkurangan dan menyebabkan sekatan air di beberapa tempat.



Cuma sejak seminggu dua, musim kemarau mula reda, setelah hujan lebat mengisi tempat takungan air yang kekeringan dan sekali gus melegakan industri semikonduktor pulau itu.



Ini mendorong pemerintah Taiwan menangguhkan langkah sekatan air, yang akan menjejas pusat pembuatan cip utama.



Sebelum ini, pihak pemerintah merancang mengetatkan penggunaan air dari 1 Jun di pusat pembuatan chip penting di Hsinchu dan Taichung, dengan menghendaki syarikat di dua taman sains itu mengurangkan penggunaan air sebanyak 17 peratus.



TSMC mempunyai beberapa kilang di Hsinchu dan Taichunga.



Banyak syarikat teknologi telah lama mengeluh mengenai bekalan air yang ketat dan mereka terpaksa membeli bekalan daripada syarikat trak air.



Kemarau juga memburukkan lagi masalah pengurusan elektrik, menyebabkan dua kali bekalan elektrik terputus di banyak kawasan.



TSMC juga terpaksa melakukan beberapa tahap pemutusan bekalan elektrik ekoran masalah tersebut.



Syarikat milik negara itu mengatakan kemarau terburuk yang melanda pulau itu bermakna kadangkala elektrik yang dijana oleh loji tenaga hidro tidak mencukupi untuk memenuhi permintaannya.



Perdana Menteri Taiwan, Encik Su Tseng-chang, juga telah memohon maaf di atas kegagalan beliau dan Kabinetnya dalam mengawal penularan Covid-19.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >