Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Penghormatan terakhir bagi Abe

Sep 28, 2022 | 05:30 AM



MANTAN perdana menteri Jepun, Encik Shinzo Abe, seorang tokoh diplomasi namun kontroversi di negaranya sendiri, telah diberi penghormatan terakhir semalam dalam satu upacara persemadian negara yang dihadiri sekitar 4,300 tetamu, termasuk 700 dari luar negara.



Antara pemimpin peringkat tertinggi yang hadir di acara tersebut ialah Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong; Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese; dan Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi.



Acara itu diadakan di arena Nippon Budokan yang pernah menjadi tuan rumah acara Olimpik, tetapi juga tidak jauh dari Kuil Yasukuni yang dilihat sebagai simbol sejarah perangnya.



Di dalam kawasan Budokan di tengah Tokyo itu, satu potret besar Encik Abe yang dibaluti dengan reben hitam digantung di atas jambangan besar bunga hijau, putih dan kuning.



Acara bermula 2 petang (1 petang waktu Singapura), dengan abu Encik Abe, dalam kotak yang ditutup kain hiasan, dibawa masuk ke dalam dewan Budokan oleh balunya, Cik Akie Abe, yang memakai kimono hitam, lapor The Straits Times.



Muzik dimainkan pancaragam tentera dengan tabik hormat 19 laras meriam dibunyikan sebagai penghormatan kepada mantan perdana menteri yang terbunuh itu.



Keselamatan di seluruh ibu kota diperketat untuk mengelak kesilapan yang membawa kepada pembunuhan Encik Abe, dengan puluhan ribu pegawai polis dari seluruh negara berkumpul di Tokyo untuk memberi sokongan.



Idea acara 'persemadian negara" itu sendiri memecahbelahkan rakyat negara itu, walaupun mereka awalnya bersatu dalam keadaan terkejut dan sedih selepas kematian Encik Abe.



Beliau dibunuh seorang lelaki yang menggunakan senjata api buatan sendiri kerana marah terhadap dakwaan hubungan pemimpin itu dengan Gereja Penyatuan, satu pertubuhan yang berpangkalan di Korea Selatan dengan taktik paksaan yang telah memufliskan dan memecahbelahkan keluarga.



Pakar undang-undang berhujah persemadian negara itu tidak mengikut perlembagaan.



Ini adalah kali kedua dalam sejarah pascaperang - kali pertama buat mantan perdana menteri, Encik Shigeru Yoshida, pada 1967 - persemadian negara diadakan.



Pakar politik berpendapat bahawa Perdana Menteri, Encik Fumio Kishida, dengan memutuskan acara itu dalam Kabinetnya tanpa melalui perdebatan parlimen (Diet), melanggar protokol.



Sementara itu, rakyat biasa Jepun juga berpecah belah, dengan tinjauan menunjukkan sekurang-kurangnya enam daripada 10 orang menentang "persemadian negara" itu diadakan, 81 hari selepas Encik Abe meninggal dunia, dengan perbelanjaan sebanyak 1.66 bilion yen ($16.5 juta).



Sementara itu, Encik Kishida, memulakan apa yang disebutnya sebagai "diplomasi takziah" dengan mengadakan beberapa siri mesyuarat puncak dengan sebilangan pemimpin dunia yang datang ke acara itu.



Encik Kishida juga menganjurkan majlis makan malam sempena lawatan Naib Presiden Amerika Syarikat, Cik Kamala Harris, ke negara itu.



Menurut satu kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) semalam, Encik Lee telah mengadakan pertemuan dengan Encik Kishida dan mengesahkan semula hubungan erat Singapura dan Jepun, selain membincangkan kerjasama sedia ada dalam bidang pendigitalan, kemampanan, tenaga dan perdagangan pelbagai hala.



Sementara itu, dalam catatannya di Facebook semalam, Encik Lee berkata beliau telah memberi penghormatan terakhir kepada Encik Abe semasa acara persemadian negara itu.



"Saya melahirkan takziah mendalam kepada Cik Akie Abe dan perdana menteri Encik Kishida bagi pihak Singapura dan semua rakyat Singapura.



"Encik Abe adalah kawan rapat Singapura dan bekerja keras untuk mengekalkan hubungan rapat antara negara kita.



"Dalam kesedihan ini, kita mengingatinya dengan meneruskan kerja yang baik itu. Berehatlah dengan tenang, Abe-san," tulis Encik Lee.



Sekitar 218 negara, wilayah dan pertubuhan antarabangsa diwakili pada persemadian negara itu, walaupun majoriti oleh wakil peringkat menteri atau duta atau bekas pemimpin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >