Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengundi kampung mungkin faktor penentu kemenangan calon, parti

Nov 18, 2022 | 5:30 AM
PRIHATIN DENGAN HARGA BARANGAN: Pada musim pilihan raya ini, suara penduduk kampung seperti Cik Nur Zalikha Zainal Abidin (dua dari kiri) bak bergema lebih lantang, lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga barangan keperluan harian. - Foto FACEBOOK FAIZAL AZUMU
PRIHATIN DENGAN HARGA BARANGAN: Pada musim pilihan raya ini, suara penduduk kampung seperti Cik Nur Zalikha Zainal Abidin (dua dari kiri) bak bergema lebih lantang, lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga barangan keperluan harian. - Foto FACEBOOK FAIZAL AZUMU -

DARI TAMBUN, PERAK: HARGA barangan keperluan harian seperti minyak, telur dan tepung yang melonjak benar-benar dirasakan pada masa ini, kata penolong kedai makanan, Cik Nur Zalikha Zainal Abidin, 30 tahun.

Keadaan ini menjejas kededua peniaga dan pelanggan, kata beliau, seorang penduduk Kampung Chepor, di Tambun, Perak.

"Kedua-dua pelanggan dan peniaga tersepit kerana harga barangan mentah naik. Jika peniaga menaikkan harga makanan dan minuman yang dijual, pelanggan tidak akan ke kedai untuk makan. Sebaliknya, jika peniaga tidak naikkan harga, mereka kerugian pula," ujar beliau.

Keluhan penduduk kampung seperti Cik Nur Zalikha itu selaras dengan hujah yang diutarakan sebahagian penduduk kampung lain di Perak dan pada musim pilihan raya ini, suara mereka bak bergema lebih lantang.

Memenangi undi penduduk kampung atau yang tinggal di kawasan luar bandar - yang sebahagian besarnya orang Melayu atau Bumiputera - kian dirasai sebagai faktor penentu penting bagi calon dan parti menjelang Hari Mengundi esok.

Pengamat politik, Dr Oh Ei Sun, berkata adalah penting bagi kededua pembangkang dan penyandang jawatan memikat pengundi di kawasan desa atau pedalaman, tetapi pembangkang mungkin kurang sumber untuk berbuat demikian.

"Bagi kawasan pedalaman, faktor penentu utama pada pilihan raya adalah keupayaan calon atau parti memberikan habuan. Jika ini tidak mencukupi, politik berdasarkan identiti boleh ditampilkan oleh sebarang pihak untuk menyokong usaha mendapatkan undi," kata beliau, seorang Felo Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

Peri penting suara orang yang tinggal di kawasan luar bandar ini mungkin lebih ketara di Tambun, dengan 64.6 peratus daripada sekitar 107,000 penduduknya adalah orang Melayu.

Ini diikuti orang Cina - kebanyakannya di kawasan bandar - yang merangkumi 20.5 peratus pengundi di sini; dan orang India, sebanyak 12.5 peratus.

Kaum lain, kebanyakan dari etnik Orang Asli, selain dari Sabah dan Sarawak, merangkumi sekitar 1.5 peratus yang lain.

Tambun, yang terletak di Daerah Kinta di Perak, telah mempunyai wakil di parlimen sejak 1986.

Kawasan yang disifatkan sebagai hibrid bandar dan desa ini dibentuk dua kawasan undi utama - Manjoi dan Hulu Kinta.

Selain mengundi wakil mereka di parlimen esok, penduduknya turut akan mengundi wakil mereka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kedua-dua tempat itu.

Sekitar separuh orang yang layak mengundi di Tambun, iaitu 57,000 orang - kebanyakannya Melayu - menetap di Manjoi (disebut Man-jo-e).

Ini menjadikan Manjoi, yang merangkumi kawasan seluas 560.8 hektar - serupa saiz Bishan - antara petempatan Melayu terbesar di Malaysia.

Bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, memenangi majoriti di Manjoi boleh membuka laluan bagi sebarang calon memenangi kerusi parlimen di Tambun.

Namun, mereka perlu memikat hati penduduk di sana yang sejak 1995 telah dipimpin di peringkat negeri dan di peringkat parlimen oleh berbilang parti.

Dari 1995 hingga 2018, kawasan itu dikuasai oleh Barisan Nasional (BN), tetapi calon Pakatan Harapan (PH), Encik Asmuni Awi, mengambil kesempatan sentimen yang berubah pada 2018 untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada calon BN pada ketika itu, Encik Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin.

Namun sebelum itu, pada 2013, Encik Asmuni, yang mewakili Parti Islam SeMalaysia (PAS), pernah bertanding dan tewas di sana.

Pada 2018, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dari PH juga merampas kerusi parlimen daripada BN di Tambun.

Namun, menyusuli itu, pada 2020, Datuk Ahmad Faizal dan partinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpindah ke Perikatan Nasional (PN), yang bermakna penduduk di kawasan itu telah melalui sekurang-kurangnya tiga pertukaran 'bendera' di peringkat DUN dan parlimen.

Bercakap dengan Berita Harian (BH), Encik Ahmad Shafiq Ahmad Ariffin, Ketua Kampung Seri Klebang/Chepor, akur satu cabaran yang dihadapi calon di kawasan desa adalah untuk menggembleng tenaga dan sokongan bagi parti dalam kalangan penduduk yang mempunyai pelbagai keprihatinan berbeza dan sebelum ini mungkin menyokong parti berbeza.

Encik Ahmad Shafiq, yang juga seorang aktivis Pakatan Harapan, berkata beliau berharap perpaduan antara penduduk kampung tidak akan berpecah-belah selepas PRU15.

"Sebelum ini, ada penduduk kampung yang enggan bertegur sapa dengan jiran kerana mereka menyokong parti berlainan warna... namun, perkara ini telah kami ubah secara bertahap.

"Kami telah berusaha gigih untuk menyatukan penduduk kampung... kami memberitahu mereka bantuan dan sokongan yang diberikan tidak mengenal warna kulit atau parti yang menjadi sokongan mereka. Sejauh ini mereka telah menunjukkan mereka boleh hidup aman bersama dan saya berharap keadaan ini akan berterusan," ujar beliau.

PERSAINGAN KIAN HANGAT

Persaingan untuk merebut undi penduduk Tambun, terutama orang Melayu, telah dipergiat dalam kalangan calon-calon di hari terakhir berkempen.

Tambun bakal menyaksikan persaingan empat penjuru, tetapi dua calon telah menarik tajuk berita utama - Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Pakatan Harapan dan Datuk Ahmad Faizal, yang juga dikenali dengan panggilan Peja.

Datuk Anwar telah memulakan kempen dengan menyuarakan hasratnya untuk merampas semula kerusi parlimen yang dicuri 'Peja si pengkhianat', selain menyatakan rancangannya untuk menjadikan Tambun, dan selanjutnya Perak, sebagai barisan depan pergerakan pembangkang dan PH.

Tambun juga telah dijadikan bak pangkalan berkempen di seluruh Malaysia bagi Datuk Anwar, yang telah dinamakan sebagai calon Perdana Menteri oleh PH.

Bercakap kepada penduduk di Danau Kota, Kuala Lumpur, kelmarin, singgahan terakhir sebelum beliau dijadual memberikan amanat khas di Tambun hari ini, Datuk Anwar berkata:

"Kita harus tukar sistem negara yang rosak akibat kerakusan elit politik yang hanya perkaya pemimpin, sekali gus memiskinkan rakyat di bawah.

"Lihat saja apabila Ismail dan Muhyiddin tadbir negara ketika Covid-19, mereka bukan bantu rakyat, sebaliknya bantu puak-puak mereka dengan agih jawatan menteri, duta khas, dan penasihat khas yang peroleh gaji besar, sebaliknya rakyat kian melarat."

Dalam pada itu, pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan pemimpin kanan seperti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Nor, dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, juga tidak berlengah untuk 'turun padang' ke Tambun untuk memberi sokongan kepada Peja pada hari-hari terakhir berkempen.

Merujuk kepada laporan media yang menyatakan Datuk Anwar - seorang gergasi politik - ingin merampas kerusi daripada 'pendatang baru' lebih kecil, iaitu Datuk Ahmad Faizal, Tan Sri Muhyiddin berkata Datuk Ahmad Faizal adalah gergasi yang akan menewaskan lawannya.

Menjawab soalan media, Datuk Ahmad Faizal berkata beliau yakin miliki peluang saksama untuk menewaskan Datuk Anwar di Tambun.

"Beliau (Datuk Anwar) tahu beliau menghadapi masa-masa yang sukar di Tambun," katanya.

"Bagi kawasan pedalaman, faktor penentu utama pada pilihan raya adalah keupayaan calon atau parti memberikan habuan. Jika ini tidak mencukupi, politik berdasarkan identiti boleh ditampilkan oleh sebarang pihak untuk menyokong usaha mendapatkan undi." - Dr Oh Ei Sun, pengamat politik dan Felo Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg