Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Pengunduran Ardern sebagai PM NZ cerminkan tuntutan berat

Akur 'beban berat' sepanjang tugas 51/2 tahun termasuk tempoh cabaran lalui pandemik, serangan pengganas ke atas dua masjid di Christchurch
Jan 20, 2023 | 05:30 AM



WELLINGTON: Peletakan jawatan Perdana Menteri New Zealand, Cik Jacinda Ardern, secara mengejut semalam, yang mengubah wajah politik global apabila beliau dipilih sebagai ketua negara wanita termuda di dunia, mencerminkan tuntutan berat yang dihadapi wanita yang berjawatan tinggi.



Sambil menahan sebak semasa membuat pengisytiharan, ahli politik berusia 42 tahun itu berkata beliau hampir tiada apa-apa lagi "dalam tangki" dan sudah tiba masanya untuk berundur selepas lima setengah tahun yang mencabar memegang jawatan.



"Ahli politik adalah manusia," katanya. "Kami memberikan semua yang kami mampu, selagi kami mampu, dan kemudian tiba masanya. Dan bagi saya, sudah tiba masanya,'' katanya.



Beliau "sudah tidak larat" untuk memimpin negara dan akan berundur selewat-lewatnya Februari ini, dan tidak mahu dipilih semula.



Cik Ardern berkata demikian dalam satu sidang akhbar di Napier, semasa Parti Buruh pimpinannya sedang mengadakan mesyuarat tahunan.



Cik Ardern menambah, beliau berundur bukan kerana tugas itu sukar, tetapi kerana beliau percaya ada orang lain yang dapat melakukannya dengan lebih baik lagi.



Beliau telah memberitahu anak perempuannya, Neve, yang beliau akan berada di sisinya apabila dia mula bersekolah tahun ini, dan turut memberitahu rakan hidupnya, Encik Clarke Gayford, sudah tiba masanya untuk mereka berkahwin.



Beliau belum membuat sebarang rancangan yang pasti tentang apa yang akan dilakukannya pada masa depan kecuali untuk bersama keluarga.



"Ahli politik adalah manusia biasa. Kami melakukan apa saja yang terdaya, dan kini tibalah masanya... bagi saya inilah masanya."



Cik Ardern berkata tugasnya telah membebankannya.



"Saya telah melakukan segala-galanya sebagai Perdana Menteri, tetapi ia juga telah mengambil banyak dari saya," kata beliau.



"Anda tidak boleh dan tidak harus melakukan pekerjaan, melainkan anda cukup bertenaga, dan bersedia menghadapi sesuatu yang tidak dijangka dan tidak dirancang."



Parti Buruh yang memerintah New Zealand, akan memilih seorang pemimpin baru dalam pengundian pada Ahad ini.



Penggal jawatan Cik Ardern selaku perdana menteri akan berakhir hingga 7 Februari ini dan satu pilihan raya umum akan diadakan pada 14 Oktober.



Cik Ardern berkata, beliau percaya Parti Buruh akan menang dalam pilihan raya itu nanti.



Cik Ardern menjadi wanita paling muda di dunia yang menerajui sebuah negara, apabila beliau dipilih menjadi perdana menteri New Zealand pada 2017 semasa berusia 37 tahun.



Beliau telah memimpin negara itu melalui tempoh pandemik koronavirus dan bencana besar pada 2019 apabila berlaku serangan pengganas ke atas dua masjid di Christchurch.



Sementara itu, Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong, melahirkan rasa terkejut mengenai pengunduran Cik Ardern.



Menyifatkan beliau sebagai "kawan setia" Singapura, Encik Lee berkata kededua negara telah meningkatkan hubungan cemerlang semasa lawatan rasmi pertamanya pada 2019 dengan penubuhan Usaha Sama Dipertingkatkan SG-NZ.



"Kami tidak bertemu secara bersemuka selama dua tahun selepas itu kerana pandemik, tetapi April lalu, setelah sempadan dibuka, beliau melawat kami dan kami mengembangkan EP untuk menyertakan kerjasama dalam perubahan iklim dan ekonomi hijau,'' kata PM Lee.



Encik Lee menyatakan Cik Ardern telah menunjukkan dedikasi dan kepimpinan yang besar.



"PM Ardern dan saya sentiasa berhubung semasa pandemik untuk berkongsi pengalaman dan bertukar-tukar pandangan, dan memastikan talian bekalan terus terbuka antara negara kita.



"Saya berterima kasih kepada PM Ardern atas perkongsian kukuh, sokongan dan jenakanya yang baik. Beliau adalah inspirasi kepada ramai orang, dan saya mengucapkan yang terbaik untuknya dan keluarganya!'' kata Encik Lee.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >