Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengunjung ke Saudi tidak perlu kuarantin jika sudah divaksinasi

Pelawat dari 20 negara, termasuk AS, India dan UAE, masih dilarang demi mengekang penularan Covid-19
May 18, 2021 | 5:30 AM
TIDAK PERLU KUARANTIN: Warga Arab Saudi mengimbas dokumen mereka di gerbang imigresen digital di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, setelah pihak berkuasa menarik balik larangan perjalanan Covid-19 mulai kelmarin, selepas 14 bulan. Pengunjung asing yang tiba di Arab Saudi dari negara layak kini tidak perlu menjalani kuarantin jika mereka telah diberi vaksin Covid-19 dan menunjukkan sijil vaksinasi rasmi. - Foto REUTERS
TIDAK PERLU KUARANTIN: Warga Arab Saudi mengimbas dokumen mereka di gerbang imigresen digital di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, setelah pihak berkuasa menarik balik larangan perjalanan Covid-19 mulai kelmarin, selepas 14 bulan. Pengunjung asing yang tiba di Arab Saudi dari negara layak kini tidak perlu menjalani kuarantin jika mereka telah diberi vaksin Covid-19 dan menunjukkan sijil vaksinasi rasmi. - Foto REUTERS -

LONDON: Arab Saudi mengumumkan bahawa pelawat asing yang tiba di negara itu melalui udara dari kebanyakan negara kini tidak perlu menjalani kuarantin jika mereka telah menerima vaksin Covid-19.

Namun, pengunjung dari 20 negara, termasuk Amerika Syarikat, India, Britain, Jerman, Perancis dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), tetap dilarang memasuki negara itu di bawah langkah bertujuan mengekang penularan koronavirus itu.

Pihak berkuasa penerbangan awam (Gaca) negara itu kelmarin mengatakan mulai lusa pengunjung bukan rakyat Arab Saudi yang tiba di negara itu melalui udara dari negara layak dan telah diberi vaksin sepenuhnya atau telah dijangkiti Covid-19 dan pulih, tidak perlu lagi menghabiskan kuarantin tujuh hari di hotel selagi mereka menunjukkan sijil vaksinasi rasmi semasa tiba.

Sekarang semua pengunjung yang masuk ke Arab Saudi dikehendaki menjalani kuarantin selama tujuh hingga 14 hari, bergantung pada negara asal mereka, dan menunjukkan hasil negatif bagi ujia reaksi rantaian polymerase (PCR).

Di bawah peraturan baru, pelawat berumur lebih lapan tahun yang tidak diberi vaksin Covid-19 mesti dikuarantin selama tujuh hari, dengan perbelanjaannya ditanggung sendiri, apabila tiba di Arab Saudi, dan menunjukkan hasil negatif bagi ujian PCR pada hari keenam ketibaan mereka, ujar Gaca.

Mereka juga mesti menyediakan polisi insurans kesihatan sah bagi perlindungan risiko daripada Covid-19.

Mereka juga dikehendaki menunjukkan hasil negatif bagi ujian PCR yang diambil tidak lebih 72 jam sebelum menaiki penerbangan mereka ke Arab Saudi.

Arab Saudi juga mengumumkan bahawa rakyatnya kini dibenarkan melakukan perjalanan ke luar negara selepas larangan perjalanan bagi membendung penularan Covid-19 yang dikuatkuasakan Januari lalu berakhir semalam.

Pihak berkuasa Saudi menyatakan pihaknya sudah bersedia memulakan operasi penerbangan antarabangsanya pada kapasiti penuh dengan berakhirnya larangan itu.

Kementerian Dalam Negeri berkata kebenaran itu melibtkan perjalanan rentas negara melalui laluan darat, udara dan laut, dengan rakyat Arab Saudi diberi kebenaran berbuat demikian melalui semua pintu masuk yang dibuka semula mulai 1 pagi semalam.

Ketua Direktorat Pasport menyatakan sesiapa berhasrat melakukan perjalanan ke luar negara diminta mengikuti arahan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri, bergantung pada kategori yang ditetapkan.

Kategori itu membabitkan mereka yang sudah menerima dua dos vaksin Covid-19; penerima satu dos vaksin dalam tempoh sekurang-kurangnya dua minggu sebelum melakukan perjalanan; dan orang sembuh daripada Covid-19 dalam tempoh enam bulan dari tarikh perjalanan.

Selain itu, turut disediakan kategori rakyat berusia 18 tahun yang menyediakan insurans perjalanan oleh Bank Pusat Saudi (Sama) yang merangkumi perlindungan risiko Covid-19 di luar negara sebelum melakukan perjalanan.

Namun, Kementerian Dalam Negeri berkata sembarang perjalanan ke luar negara secara terus atau melalui lokasi transit masih dilarang tanpa kebenaran terlebih dulu.

Sementara itu, Syarikat Penerbangan Arab Saudi berkata ia sudah melengkapkan semua persediaan bagi operasi penerbangan dari 95 lapangan terbang ke 71 destinasi, iaitu 28 domestik dan 43 antarabangsa.

Menurut syarikat penerbangan itu, sejak pandemik Covid-19 bermula ia sudah melakukan lebih 100,000 penerbangan dan membawa lebih 10 juta penumpang. Pesawatnya dibersihkan menggunakan sistem pembasmi kuman secara kerap dan semua kru sudah divaksinasi.

Menurut ketua Penguasa Penerbangan Am, kira-kira 385 penerbangan dijangka beroperasi di semua lapangan terbang di Arab Saudi mulai semalam. - Reuters, Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg