NEW DELHI: Pemerintah India pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi membentangkan satu rang undang-undang kontroversi di Parlimen pada Rabu, yang dijangka membawa perubahan besar dalam pengurusan tanah dan hartanah yang diwakafkan untuk kegunaan eksklusif komuniti Muslim di negara itu.
Tanah yang dikategorikan sebagai wakaf — istilah Arab yang membawa maksud “menahan” atau “mengkhususkan” — lazimnya diwakafkan oleh individu Muslim untuk tujuan keagamaan, pendidikan, atau kebajikan. Tanah tersebut tidak boleh dijual atau dipindah milik.
Namun, Rang Undang-Undang Wakaf (Pindaan) yang dibentangkan oleh Menteri Hal Ehwal Minoriti, Encik Kiren Rijiju, akan membenarkan penyertaan ahli bukan Islam dalam Majlis Wakaf Pusat dan lembaga-lembaga wakaf negeri, selain memberi kuasa kepada pemerintah untuk menentukan hak milik ke atas hartanah wakaf yang dipertikaikan.
“Kami mahu reformasi ini dianggap sebagai usaha membanteras rasuah dan penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran wakaf yang dikawal oleh kelompok tertentu,” ujar Encik Rijiju ketika membentangkan cadangan pindaan itu. “Ini adalah reformasi pro-Muslim,” tambahnya.
Namun, wakil-wakil masyarakat Islam dan parti pembangkang menganggap rang undang-undang itu sebagai langkah tersirat untuk melemahkan hak milik umat Islam terhadap institusi hartanah mereka.
Encik Kamal Farooqui, pegawai daripada Lembaga Undang-Undang Peribadi Muslim Seluruh India.
“Kalau pemerintah bercadang beri dua kerusi kepada bukan Muslim dalam lembaga wakaf, adakah umat Islam juga akan diberi tempat dalam lembaga kuil Hindu?” soalnya sinis. “Pemerintah Modi hanya mahu mengawal ‘bank tanah Islam’. Mereka tiada hak untuk mencabuli institusi kami.”
Terdapat lebih 85,000 harta wakaf dan 900,000 ekar tanah yang diuruskan oleh lebih 25 lembaga wakaf di seluruh India, menjadikan komuniti Muslim antara pemilik tanah terbesar di negara itu. Namun, laporan Jawatankuasa Sachar pada 2006 mencadangkan pemantauan dan pembaharuan sistem wakaf bagi meningkatkan hasil untuk manfaat umat Islam.
India dijangka menjadi negara dengan populasi Muslim terbesar di dunia menjelang 2050, menurut unjuran Pew Research Center. Namun, statistik semasa menunjukkan umat Islam masih ketinggalan dalam pendidikan, pekerjaan dan perwakilan politik.
“Kita tidak perlukan reformasi yang mengancam hak milik, sebaliknya yang memperkasa komuniti. Jika kerajaan benar-benar ikhlas, dengarlah suara kami, bukan hanya ubah struktur untuk kawal segalanya,” kata Encik Kamal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg