Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peniaga M'sia minta butiran sektor penting didedah segera

May 30, 2021 | 5:30 AM
SEMAKIN MERUNCING: Di tengah-tengah ketidaktentuan mengenai apa yang akan dibenarkan dalam sekatan menyeluruh atau Total Lockdown kelak, Malaysia mencatatkan 9,020 kes baru jangkitan Covid-19, iaitu yang tertinggi sejak pandemik melanda. - Foto REUTERS
SEMAKIN MERUNCING: Di tengah-tengah ketidaktentuan mengenai apa yang akan dibenarkan dalam sekatan menyeluruh atau Total Lockdown kelak, Malaysia mencatatkan 9,020 kes baru jangkitan Covid-19, iaitu yang tertinggi sejak pandemik melanda. - Foto REUTERS -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 9,020 kes baru jangkitan Covid-19 dilaporkan semalam.

Ini menjadikannya jumlah kes baru Covid-19 tertinggi dalam sehari, yang pernah dilaporkan sejak penularan virus itu di Malaysia.

Ini menyusuli pengumuman kerajaan kelmarin untuk mengarahkan langkah total lockdown.

Dengan pengumuman penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau total lockdown di seluruh negara bagi tempoh 14 hari, kumpulan perniagaan Malaysia berkata keputusan itu tidak dapat dielakkan namun meminta agar lebih banyak maklumat segera diberi.

Presiden persatuan syarikat kecil dan sederhana (SME) Malaysia Michael Kang berkata mereka menyokong langkah itu dan berharap agar terdapat bantuan untuk membolehkan perniagaan terus bertahan.

"Berdasarkan tinjauan kami, kami mendapati bahawa total lockdown akan menyebabkan 40 peratus SME ditutup.

"Oleh itu, kerajaan perlu melakarkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada semua pihak," ujarnya.

Beliau turut menggesa kerajaan menjalankan ujian swab seluruh negara untuk menjejak sumber jangkitan dan menghentikan penularan Covid-19.

Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang juga mengalu-alukan langkah mengumumkan total lockdown itu.

Presiden FMM Jimmy Ong berkata: "Kami faham kerajaan perlu mengambil langkah ini.

"Apa yang kita perlukan sekarang adalah agar prosedur operasi standard (SOP) segera diumumkan untuk mengelak daripada kekeliruan dan salah faham."

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) telah dua kali menafikan kesahihan grafik mengenai senarai industri yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh 1 hingga 14 Jun itu, ekoran beberapa versi senarai itu tular di media sosial.

Presiden Persatuan Gabungan Pengamal Perubatan Malaysia, Dr Raj Kumar Maharajah, berkata Malaysia memerlukan total lockdown di seluruh negara itu untuk melihat perubahan besar.

"Ini tidak dapat dielakkan memandangkan jumlah kes baru sehari telah mencapai lebih 8,000 kes.

"Prasarana penjagaan kesihatan kami hampir runtuh dan tidak ada cara lain," ujarnya.

Meskipun menganggap langkah itu lambat dilaksana, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata kerajaan telah membuat keputusan yang tepat.

Malah tambahnya, kebanyakan pakar perubatan awam menjangkakan total lockdown itu dilaksana awal minggu lalu.

"Kami benar-benar berharap rakyat akan mematuhi semua SOP," ujarnya.

Presiden Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia, Profesor Dr Zamberi Sekawi, pula berkata langkah yang diambil sebelum ini tidak berkesan.

"Kerajaan telah membenarkan perniagaan terus beroperasi tetapi orang ramai tidak mematuhi SOP dan terdapat kes sedemikian hampir setiap hari," katanya.

Maka, beliau berpendapat sudah tiba masanya orang ramai memahami keadaan serius yang dihadapi negara itu sekarang.

"Pekerja perubatan di barisan depan terjejas teruk, unit jagaan rapi (ICU) sesak dan bilik mayat pula penuh sehingga kita terpaksa menggunakan kontena khas peti sejuk sebagai ruang simpan mayat kerana jumlah kematian akibat Covid-19 yang cukup tinggi," ujarnya.

Sementara itu, ramai warga Malaysia turut menyambut baik langkah terkini yang diambil kerajaan itu dan melahirkan pendapat mereka di media sosial.

Antaranya termasuk Cik Samantha Tan yang berkata beliau amat berterima kasih kerajaan mengambil langkah tersebut.

Seorang pengguna Instagram @singhguruguru pula berharap kerajaan dapat meningkatkan usaha vaksinasi Covid-19 buat rakyat. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg