Pensyarah AS didakwa hina Raja Thailand akan rayu pembatalan visa
Pensyarah AS didakwa hina Raja Thailand akan rayu pembatalan visa
BANGKOK: Seorang pensyarah dari Amerika Syarikat, Paul Chambers, yang berdepan tuduhan menghina institusi diraja Thailand di bawah undang-undang ketat lese-majeste atau menghina monarki, akan memfailkan rayuan terhadap keputusan pihak berkuasa yang membatalkan visanya, menurut peguam beliau pada 10 April.
Chambers, yang telah tinggal di Thailand selama beberapa dekad dan kini mengajar subjek politik Asia Tenggara di sebuah universiti di wilayah utara negara itu, ditahan pada 8 April lalu selepas hadir ke balai polis untuk memberikan keterangan berkaitan pertuduhan terhadapnya.
Beliau bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak 300,000 baht ($11,779) pada 9 April berkaitan kes jenayah tersebut. Namun, Chambers terus ditahan sehingga lewat malam selepas pihak peguamnya berunding dengan pihak imigresen berhubung status visanya.
“Pasukan peguamnya merancang untuk memfailkan rayuan terhadap pembatalan visa tersebut,” menurut kumpulan Peguam Thailand untuk Hak Asasi Manusia dalam kenyataan di platform X, awal pagi 10 April.
Tuduhan terhadap Chambers difailkan selepas tentera Thailand membuat aduan awal tahun 2025 ini, berikutan satu tulisan promosi untuk podcast berkaitan politik Asia Tenggara yang disiarkan di sebuah laman web pemikir tempatan.
Encik Chanatip Tatiyakaroonwong, penyelidik di Amnesty Antarabangsa yang memperjuangkan pembebasan tahanan politik, berkata tindakan membatalkan visa ini jelas bertujuan untuk menakut-nakutkan.
“Pembatalan visa ini adalah isyarat amaran kepada wartawan dan ahli akademik asing yang bekerja di Thailand bahawa bercakap mengenai institusi diraja boleh membawa kesan serius,” katanya kepada AFP.
Dalam masa yang sama, beberapa badan hak asasi antarabangsa menyuarakan kebimbangan terhadap penggunaan undang-undang lese-majeste atau Artikel 112 yang dikenakan bukan sahaja ke atas ahli akademik dan aktivis, malah pelajar.
Pada tahun 2024 lalu, seorang lelaki di utara Thailand dijatuhi hukuman penjara lebih 50 tahun kerana kesalahan menghina institusi diraja, manakala seorang wanita dijatuhi hukuman 43 tahun pada 2021.
Malah, pada tahun 2023, seorang lelaki turut dipenjara dua tahun hanya kerana menjual kalendar satira yang memaparkan itik getah — yang dianggap mahkamah sebagai menghina raja.
“Ini bukan soal undang-undang semata-mata. Ini tentang bagaimana suara kritikal cuba didiamkan di Thailand,” kata Encik Chanatip. - Agensi berita

