Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

BERITA

Pentadbiran Amerika ditutup Ahad jika Kongres gagal capai kata sepakat

Sep 28, 2023 | 12:56 PM



WASHINGTON: Pentadbiran persekutuan Amerika Syarikat kemungkinan bakal ditutup pada pagi Ahad jika Kongres tidak mengambil sebarang tindakan dan berdepan risiko lumpuh yang akan memberi kesan buruk.


Kongres hanya mempunyai tiga hari lagi untuk berunding dan mencapai satu perjanjian yang dapat menghalang penutupan pentadbiran. Jika berlaku, ia akan memberi kesan mendalam kepada jutaan rakyat Amerika.

Speaker Dewan Perwakilan, Encik Kevin McCarthy pula meminta pemimpin untuk mengemas kini pelan tindakan mereka mengenai cara beroperasi sekiranya dana habis, sementara menyediakan draf komunikasi yang boleh digunakan untuk memaklumkan pekerja tentang situasi tersebut.

Gesaan itu dibuat kira-kira tiga bulan selepas Encik McCarthy ingin memuktamadkan perjanjian dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden bagi menghalang kecelaruan itu.

Sejak beberapa minggu lalu, perbincangan telah berlangsung namun sehingga Khamis, sedikit sahaja kemajuan yang telah dicapai.

Krisis penutupan itu dilihat sebagai satu ancaman serius kerana ia akan memberi kesan kepada operasi harian kerajaan serta pendapatan para pekerja pemerintah.

Encik Biden pada Rabu telah memberi amaran tentang kesan buruk yang akan berlaku sekiranya penutupan pentadbiran persekutuan berlaku, dengan sektor sains dan kesihatan menjadi salah satu yang paling teruk terjejas.

Selepas menyampaikan ucapan di hadapan sekumpulan pakar dalam bidang sains dan teknologi di San Francisco, beliau memberitahu pemberita: “Saya percaya tiada apa yang mutlak dalam dunia politik, tetapi kita perlu sedar kesan yang bakal berlaku.”

Dengan tarikh akhir minggu ini, tekanan meningkat untuk para penggubal undang-undang supaya mencapai persetujuan bajet. Encik Biden menambah:

“Penyelidikan terhadap barah, keselamatan makanan dan banyak aspek sains dan kesihatan lain mungkin mengalami gangguan jika pentadbiran ditutup.”

“Jadi rakyat Amerika memerlukan rakan Republikan kami di Dewan Perwakilan untuk melakukan tugas mereka: Membiayai pemerintah,” kata Encik Biden.

Pada 1 Oktober, jika tiada perjanjian yang dicapai, berjuta-juta pekerja pemerintah akan terpaksa berhenti bekerja tanpa gaji. Ini bukan sahaja memberi kesan kepada mereka dan keluarga mereka, bahkan memberi kesan kepada perkhidmatan penting yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat.

Perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan agensi keselamatan akan mengalami gangguan operasi. Selain itu, penutupan akan memberi kesan kepada ekonomi negara kerana kegiatan ekonomi akan perlahan dengan ketiadaan perkhidmatan persekutuan dan berkurangnya belanja rakyat.

Setiausaha Pengangkutan Amerika, Encik Pete Buttigieg memberi amaran penutupan separa pentadbiran boleh mengganggu perjalanan udara.

Jika Kongres tidak membiayai operasi pemerintah, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menganggarkan ia perlu memberhentikan lebih 17,000 pekerja selain menghentikan latihan.

Pada 2019 ketika penutupan 35 hari, bilangan ketidakhadiran oleh pengawal dan pegawai Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) meningkat, memanjangkan masa menunggu di pusat pemeriksaan di beberapa lapangan terbang.

Untuk itu, FAA terpaksa memperlahankan lalu lintas udara, sekali gus memberi tekanan kepada penggubal undang-undang untuk menamatkan kebuntuan.

Buat masa ini, Kongres terus bergerak ke arah krisis fiskal yang lain, dalam tempoh setahun yang menyaksikan pentadbiran Amerika hampir berhenti membuat pembayaran hutang.

Minggu lalu, penggubal undang-undang meninggalkan Dewan Perwakilan dengan tiada resolusi dibuat, sekali gus meningkatkan kemungkinan pentadbiran pimpinan Encik Biden menghampiri tempoh kurang seminggu lagi berdepan penutupan sejak 1977 apabila Amerika mengalihkan permulaan tahun fiskalnya pada 1 Oktober. 

Terdahulu Senat merangka usul belanjawan jangka pendek terakhir dalam keadaan Kongres berdepan kesuntukan masa bagi mengelakkan penutupan kerajaan.

Kedua-dua pemimpin majoriti Senat Demokratik, Encik Chuck Schumer dan pemimpin minoriti Republikan, Encik Mitch McConnell, mengesahkan draf itu, bagi membolehkan pemerintah terus berfungsi sehingga 17 November, berbanding tarikh akhir sepatutnya pada 30 September ini.

Namun sesetengah penjawat awam di sektor genting seperti tentera akan terus berkhidmat seperti biasa tanpa gaji, sehinggalah belanjawan akhirnya diluluskan. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >