BEIJING: Penularan baru wabak Covid-19 di wilayah Fujian, China, yang telah melaporkan 152 kes setempat dalam tempoh lima hari, telah mendorong bandar-bandar di wilayah lain negara itu untuk mengeluarkan amaran perjalanan menjelang musim cuti utama, walaupun media pemerintah memberi amaran agar tidak melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya.

Amaran perjalanan itu diberikan menjelang cuti Hari Kebangsaan selama seminggu bermula 1 Oktober, satu musim pelancongan utama, selain cuti lebih pendek Festival Pertengahan Musim Gugur pada minggu depan.

Pada penularan sebelum ini pada Julai-Ogos, yang menyaksikan sekatan pergerakan ketat di beberapa bandar, ia telah menjejas sektor pelancongan, perhotelan dan pengangkutan serta memperlahankan secara ketara pertumbuhan penjualan runcit.

Walaupun semua kes baru setempatan di China sejak 10 September dilaporkan hanya di wilayah tenggara Fujian, kota di timur laut China, Jilin, serta Maoming dan Guangzhou di selatan, telah menasihati orang ramai agar tidak melakukan perjalanan tidak penting ke luar wilayah mereka.

Wilayah Shanxi dan Heilongjiang juga telah mengeluarkan nasihat serupa.

Bandar Chifeng dan Hohhot di wilayah autonomi utara Inner Mongolia telah menasihati penduduk supaya tidak keluar dari wilayah itu semasa cuti, sementara bandar Xian di wilayah Shaanxi meminta penduduk agar tidak meninggalkan kota tanpa sebab penting.

Suruhanjaya Kesihatan Nasional melaporkan semalam bahawa 50 kes baru penularan setempat dilaporkan pada 14 September, berbanding 59 jangkitan sehari sebelumnya.

Kesemua kes dilapor di Fujian.

Ini menjadikan jumlah jangkitan setempat di tiga kota Putian di Fujian, di mana wabak bermula, Xiamen dan Quanzhou menjadi 152 kes.

Dalam satu editorial semalam, media negara itu Global Times mengatakan "sebuah negara besar seperti China tidak harus takut oleh satu wabak setempat di Fujian".

Pegawai setempat tidak boleh dengan mudah menganjurkan perintah menyeluruh untuk tidak keluar rumah semasa hari cuti, atau mengubah nasihat itu kepada satu keperluan, katanya.

"Kita perlu secara beransur-ansur meningkatkan kecekapan tepat daripada laluan sifar dinamik kita," tambah akhbar itu.

"Kita harus mengelakkan sekatan sepenuhnya pada skala besar.

"Kita harus berusaha mengesan awal setiap wabak. Kita juga perlu memastikan kita dapat membendungnya dengan lebih cepat agar ia tidak memberi kesan buruk kepada masyarakat."

Termasuk kes yang diimport, China melaporkan 73 kes Covid-19 baru kelmarin berbanding 92 sehari sebelumnya, menurut suruhanjaya itu. - Reuters.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti