HONG KONG: Penunjuk perasaan di Hong Kong membakar kawasan di luar bangunan mahkamah, melontar bom minyak dan meneymbur grafiti pada bangunan pemerintah, menurut polis tempatan.
Selain perbuatan itu, perhimpunan yang diadakan hujung minggu lalu rata-ratanya aman, kata polis Hong Kong.
Meskipun penunjuk perasaan menggesa agar mengadakan mogok semalam, kebanyakan khidmat kereta api dan pengangkutan terus berjalan lancar semasa waktu sibuk sebelah pagi dan tiada gangguan besar-besaran dilaporkan.
Penunjuk perasaan yang berpakaian warna hitam membanjiri jalan raya di hab kewangan Asia itu kelmarin untuk mengadakan perhimpunan anti pemerintah terbesar sejak pilihan raya daerah diadakan bulan lalu.
Ini juga menunjukkan sokongan berterusan bagi gerakan prodemokrasi.
Sementara perhimpunan itu rata-ratanya aman dan berbeza berbanding perhimpunan lain yang diadakan sepanjang enam bulan lalu – dengan keganasan antara penunjuk perasaan dan polis yang menentang satu sama lain – pihak berkuasa berkata terdapat beberapa kerosakan yang tetap dialami selepas perhimpunan itu berakhir.
“Walaupun ia rata-ratanya aman, beberapa tindakan yang menjejas keamanan orang awam tetap berlaku.
“Beberapa penunjuk perasaan menyembur grafiti pada bahagian luar bangunan Mahkamah Tinggi, melontar bom minyak dan membakar kawasan di luar Mahkamah Tinggi serta Mahkamah Rayuan Terakhir.
“Ini merosakkan harta benda pemerintah dan mencabar undang-undang secara serius,” kata polis menerusi satu kenyataan semalam.com.sg