MADRID: Dalam satu proses penyelamat dalam air, penyelam Sepanyol membebaskan paus kelasa (humpback whale) sepanjang 12 meter yang terjerat dalam jaring hanyut haram dekat pulau Balearic dekat Mallorca
Seorang daripada penyelam, ahli biologi laut, Cik Gigi Torras, berkata usaha menyelamat dan penghargaan kecil daripada mamalia gergasi itu merupakan hadiah hari jadi terbaik untuknya.
"Ia memang satu pengalaman yang luar biasa," katanya kepada agensi berita Reuters kelmarin.
Ini merupakan kali ketiga seekor paus kelasa dilihat di sekitar Pulau Balearic.
Paus yang kelihatan lemah itu ditemui kapal sekitar 4.83 kilometer daripada bahagian timur Mallorca, sekali gus menggesa pusat penyelamat marin Akuarium Palma de Mallorca mengambil tindakan.
Mereka menjumpai paus itu terjerat dalam jaring ikan merah sehingga ia langsung tidak dapat membuka mulutnya.
Selepas percubaan awal untuk memotong jaring itu daripada kapal gagal, penyelam daripada Albatros dan pusat penyelam Skualo menyertai usaha pada Jumaat lalu dan menyelam ke dalam laut untuk memotong jaring itu dengan menggunakan pisau dalam satu operasi berani selama 45 minit.
"Pada 10 saat pertama, ia agak gementar seperti ada buih di mana-mana tetapi entahlah, mungkin ia tahu kita berada di sini untuk membantunya dan mula tenang sedang kami cuba melepaskan jaring itu bermula daripada bahagian depan mulut ke belakang," kata Cik Torras.
"Kami terus memotong dan memotong dan paus itu juga cuba melepaskan dirinya," kata Cik Torras sambil menambah bahawa mamalia itu kemudian berada di sisi empat penyelam itu dan memberikan seakan "tanda terima kasih" sebelum berenang pergi. -- Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg