JAKARTA: Pasukan mencari dan menyelamat kapal selam Indonesia yang hilang dengan 53 anak kapal di dalamnya, telah menemui serpihan yang dipercayai berasal daripada dalaman kapal selam itu, kata Komander Angkatan Bersenjata Indonesia Hadi Tjahjanto di satu sidang media Sabtu (24 April). "Kami menemui tumpahan minyak dan serpihan sebagai bukti sahih... bahawa kapal selam itu tenggelam," kata Ketua Marsyal Hadi. "Antara bukti yang dikumpulkan daripada permukaan laut di mana kapal selam itu dilaporkan hilang termasuk span daripada kepingan penebat haba, sebotol minyak daripada ruang dalaman kapal selam. "Span itu terkoyak daripada saiznya yang jauh lebih besar," kata Panglima Tentera Laut Indonesia Yudo Margono dalam sidang media yang sama. Beliau berkata minyak itu adalah pelincir periskop dasar laut. Barang lain yang ditemui termasuk sejadah anak kapal, sebahagian pelurus tiub torpedo dan pembungkus paip penyejuk. Usaha sedang dilakukan untuk membawa naik kapal selam itu dari kedalaman 850 meter (m), kata Laksamana Yudo. "Kapal selam itu mungkin mulai retak di beberapa bagian ketika tenggelam pada kedalaman antara 400m dan 500m," katanya, sambil menambah bahawa belum ditemui sebarang tanda-tanda mayat atau mangsa yang masih hidup. Aset dari negara asing telah dikerahkan untuk membantu usaha mencari dan menyelamat, kata Ketua Marsyal Hadi, sambil menekankan bahawa Australia, Amerika Syarikat, Singapura dan Malaysia telah melakukan yang terbaik untuk membantu usaha pencarian. - ST.