SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Peranan Pakistan di sebalik gencatan senjata AS–Iran

Peranan Pakistan di sebalik gencatan senjata AS–Iran

Pakistan gesa Trump lanjutkan tempoh akhir kepada Iran
Apr 8, 2026 | 2:29 PM

Peranan Pakistan di sebalik gencatan senjata AS–Iran

Seorang penjual minum teh sambil membaca akhbar pagi di sebuah gerai tepi jalan di Islamabad pada 8 April 2026. Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, berkata Amerika Syarikat, Iran dan sekutu mereka telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata “di semua kawasan”, termasuk Lebanon, susulan usaha pengantaraan oleh kerajaannya untuk menghentikan pertempuran selama beberapa minggu.
Seorang penjual minum teh sambil membaca akhbar pagi di sebuah gerai tepi jalan di Islamabad pada 8 April 2026. Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, berkata Amerika Syarikat, Iran dan sekutu mereka telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata “di semua kawasan”, termasuk Lebanon, susulan usaha pengantaraan oleh kerajaannya untuk menghentikan pertempuran selama beberapa minggu. - Foto AFP

ISLAMABAD: Di saat-saat akhir sebelum gencatan senjata dua minggu antara Amerika Syarikat dan Iran dimeterai, Pakistan muncul sebagai pengantara utama yang memainkan peranan penting dalam meredakan konflik yang semakin memuncak.

Menurut sumber yang dipetik media antarabangsa, rundingan antara kedua-dua pihak berjalan “pantas” dengan Islamabad menjadi saluran utama pertukaran mesej antara Tehran dan Washington. Proses rundingan dikendalikan oleh kumpulan kecil pegawai Pakistan, dengan suasana digambarkan sebagai serius tetapi masih memberi harapan.

“Suasana rundingan muram dan serius, tetapi masih ada harapan bahawa penghentian permusuhan dapat dicapai,” kata sumber tersebut.

Peranan Pakistan bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Negara itu mempunyai hubungan sejarah dan sempadan bersama Iran, selain sering merujuk hubungan dua hala sebagai “persaudaraan”. Pada masa sama, Islamabad juga mengekalkan hubungan rapat dengan Washington, termasuk hubungan peribadi antara Presiden Donald Trump dan Ketua Staf Tentera Darat Pakistan, Asim Munir.

Walaupun usaha diplomatik berjalan, perjanjian gencatan senjata sebenarnya berada di ambang kegagalan.

Menteri Luar Pakistan, Encik Ishaq Dar, mengakui situasi berubah dengan cepat apabila serangan baharu dilancarkan di rantau tersebut. “Sehingga semalam (7 April), kami sangat optimistik keadaan bergerak ke arah positif,” katanya, sebelum mengakui serangan baharu telah merumitkan usaha damai.

Encik Munir, turut mengkritik tindakan ketenteraan yang berterusan, khususnya serangan terhadap Arab Saudi. “Serangan ini menjejaskan usaha ikhlas untuk menyelesaikan konflik secara aman,” katanya.

Kenyataan tersebut dilihat sebagai antara kritikan paling tegas Pakistan terhadap Iran sejak konflik bermula, sekali gus menunjukkan tekanan yang semakin meningkat terhadap Teheran.

Ketika tekanan meningkat, Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, mengambil langkah proaktif dengan menggesa lanjutan tempoh rundingan. Beliau turut mencadangkan agar Iran membuka Selat Hormuz sebagai sebahagian daripada usaha meredakan ketegangan.

Tidak lama kemudian, terdapat tanda-tanda kemajuan apabila Duta Iran ke Pakistan memaklumkan bahawa rundingan telah memasuki fasa lebih positif.

“Usaha diplomatik untuk penyelesaian aman terhadap peperangan yang sedang berlangsung di Asia Barat sedang berkembang secara stabil, kukuh dan berkesan, dengan potensi untuk membawa kepada hasil yang substantif dalam masa terdekat,” kata Encik Sharif dalam satu hantaran di platform X.

“Bagi memberi peluang kepada diplomasi untuk meneruskan peranannya, saya dengan penuh hormat memohon Presiden Trump agar melanjutkan tempoh akhir itu selama dua minggu.”

Gesaan tersebut dibuat beberapa jam sebelum tarikh akhir yang ditetapkan oleh Encik Trump untuk melaksanakan “pemusnahan menyeluruh” terhadap infrastruktur kritikal Iran, khususnya jambatan dan loji jana kuasa, sekiranya tiada perjanjian dicapai menjelang jam 8 malam waktu ET (8 pagi waktu Singapura).

Beberapa jam selepas itu, Encik Sharif mengumumkan bahawa gencatan senjata telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak. “Saya dengan sukacita mengumumkan bahawa Iran dan Amerika Syarikat, bersama sekutu masing-masing, telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta,” katanya.
Beliau turut menjemput kedua-dua negara untuk meneruskan rundingan di Islamabad bagi mencapai perjanjian yang lebih menyeluruh. “Kami berharap rundingan di Islamabad akan berjaya mencapai keamanan yang berkekalan,” tambahnya.

Menurut Encik Sharif gencatan senjata bukan sahaja melibatkan Iran dan Amerika tetapi turut merangkumi kawasan lain termasuk Lebanon, menjadikan konflik ini bersifat serantau.

Pakistan telah muncul sebagai saluran penyampaian mesej antara Teheran dan Washington, dalam usaha menjadi orang tengah bagi mengelakkan peningkatan lanjut konflik Asia Barat. Islamabad turut menyatakan kesediaannya untuk menjadi tuan rumah kepada “perbincangan bermakna” antara Amerika Syarikat dan Iran.

Walaupun perjanjian telah dicapai, sumber diplomatik memberi amaran bahawa keadaan masih rapuh dan penuh ketidakpastian. “Kami masih berhati-hati kerana keadaan ini sangat rapuh,” kata sumber tersebut. - Agensi berita

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg