Perancis gegas buka daftar vaksin bagi semua warga dewasa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perancis gegas buka daftar vaksin bagi semua warga dewasa

Eropah kian waspada elak gelombang jangkitan baru disebabkan varian Covid-19 baru
Jun 2, 2021 | 5:30 AM

Perancis gegas buka daftar vaksin bagi semua warga dewasa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
TUNGGU DISUNTIK: Orang ramai sedang menunggu giliran untuk diberi suntikan vaksin Covid-19 di kejiranan di luar bandar Paris. Satu tinjauan yang dilakukan pada awal Mei menunjukkan 65 peratus orang dewasa Perancis merancang mendapatkan vaksin, meningkat daripada 48 peratus pada Februari. - Foto AFP
TUNGGU DISUNTIK: Orang ramai sedang menunggu giliran untuk diberi suntikan vaksin Covid-19 di kejiranan di luar bandar Paris. Satu tinjauan yang dilakukan pada awal Mei menunjukkan 65 peratus orang dewasa Perancis merancang mendapatkan vaksin, meningkat daripada 48 peratus pada Februari. - Foto AFP -

PARIS: Perancis membuka pendaftaran vaksin Covid-19 kepada semua penduduk dewasanya kelmarin, sedang Eropah bergegas untuk mengelak gelombang jangkitan baru yang disebabkan varian virus baru.

Sejauh ini, 25.4 juta penduduk negara itu telah menerima suntikan vaksin pertama - iaitu sekitar 38 peratus penduduk atau hampir satu daripada setiap dua orang dewasa.

Sehingga kini, mereka yang berusia lebih 50 tahun, pekerja dalam kerjaya yang terdedah kepada virus dan penduduk dewasa lebih muda dengan masalah kesihatan diberi keutamaan.

Dengan negara itu baru mula bangkit daripada gelombang jangkitan ketiga yang teruk, pemerintah Presiden Emmanuel Macron ingin memperluas program vaksin dengan cepat untuk memperlambat penularan varian yang dapat menimbulkan bencana baru.

Kededua Perancis dan Jerman telah sejak seminggu lalu mengenakan sekatan baru bagi perjalanan dari Britain, untuk mengekang penularan virus varian India yang dikatakan sebagai sebab utama lonjakan kes di beberapa kawasan di Britain.

Dalam satu tamparan serius terhadap sektor pelancongan Perancis, warga Britain dan warga negara bukan Kesatuan Eropah (EU) yang melakukan perjalanan dari Britain ke Perancis mulai kelmarin harus memberi alasan kuat untuk memasuki negara itu.

Selain itu, Jerman telah mengenakan perintah kuarantin selama dua minggu bagi pelancong yang tiba dari Britain.

Sementara itu, sedang warga Perancis kini mula menikmati kebebasan setelah pembukaan semula kafe, restoran dan muzium dua minggu lalu, tahap penerimaan terhadap vaksin Covid-19 mula meningkat.

Satu tinjauan Cevipof yang dilakukan pada awal Mei menunjukkan 65 peratus golongan dewasa merancang mendapatkan vaksin, meningkat daripada 48 peratus pada Februari.

"Saya yakin sepenuhnya bahawa kita akan melihat lebih banyak orang mendapatkan vaksin," kata Profesor Alain Fischer, ahli imunologi yang mengetuai lembaga penasihat vaksinasi pemerintah Perancis kelmarin.

Pemerintah berharap 76.7 juta vaksin yang dijadual diterima pada bulan ini akan membantu memenuhi permintaan.

Namun dengan hanya sekitar 500,000 janji temu setiap hari, ramai orang terpaksa melakukan perjalanan ke luar kota atau luar wilayah mereka untuk mendapatkan suntikan Pfizer atau Moderna yang menjadi pilihan utama.

Dos vaksin AstraZeneca dan Johnson & Johnson, yang sukar mencari penerima vaksin, hanya terbuka kepada mereka berusia 55 tahun dan ke atas, setelah berlaku kes pembekuan darah yang menjejas sebilangan kecil orang muda yang diberi vaksin itu.

Selepas permulaan imunisasi yang perlahan pada awal Januari, tatkala ia dikritik sebagai salah satu negara yang ketinggalan di Eropah, Perancis mahu merapatkan jurang dengan negara-negara jirannya.

Britain, yang mendahului program vaksinasi di Eropah, telah memberi lebih 39 juta orang suntikan pertama dan 25 juta telah mendapat dos kedua.

Jerman, yang seperti Perancis lambat untuk mencapai sasaran, juga telah meningkatkan usaha imunisasi sejak beberapa minggu lalu. - AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg