Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perancis janji percepat vaksinasi Covid-19, gagal reda pengkritik

Jan 7, 2021 | 5:30 AM
DEMI KESIHATAN: Seorang jururawat menyuntik satu dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di hospital Hotel-Dieu di Paris, pada 2 Januari lalu sedang kempen vaksinasi untuk pekerja penjagaan kesihatan berusia 50 tahun ke atas dilancarkan di hospital itu. - Foto AFP
DEMI KESIHATAN: Seorang jururawat menyuntik satu dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di hospital Hotel-Dieu di Paris, pada 2 Januari lalu sedang kempen vaksinasi untuk pekerja penjagaan kesihatan berusia 50 tahun ke atas dilancarkan di hospital itu. - Foto AFP -

PARIS: Perancis berjanji kelmarin untuk mempercepat vaksinasi Covid-19, tetapi gagal meredakan rasa tidak puas hati pengkritik yang menuduh pemerintah bersikap "amatur" kerana lembap dalam pelaksanaan kempen inokulasi.

Menteri Kesihatan Perancis, Encik Olivier Veran, menghadapi tekanan hebat kerana ketinggalan berbanding negara-negara jiran Kesatuan Eropah (EU) dalam memberikan vaksinasi, mengatakan pemerintahnya akan segera mempercepat inokulasi ke atas rakyatnya.

Beliau mengatakan lebih daripada 2,000 orang telah divaksinasi pada Isnin lalu - berbanding dengan sekitar 264,000 orang di Jerman pada hari yang sama - dan "kepantasan usaha vaksinasi akan menyamai dengan jiran kita dalam beberapa hari mendatang".

Jumlah vaksinasi Jerman telah meningkat kepada lebih 316,000 orang kelmarin.

Pemerintah Perancis telah bersaing dengan beberapa negara jirannya sejak awal usaha vaksinasi di seluruh EU pada 27 Disember lalu.

"Mengapa kita tidak terus melakukan vaksinasi, seperti di Israel, Britain dan Jerman," tanya sekumpulan doktor dalam sepotong pendapat di surat khabar Le Parisien, meminta semua pekerja kesihatan dan mereka yang berusia lebih dari 65 tahun untuk segera diinokulasi.

Satu kartun satira dalam akhbar Le Monde kelmarin memaparkan Presiden Emmanuel Macron yang berpelitup duduk di atas seekor siput dan memegang kuasa.

Pemimpin Perancis itu bertemu para pegawai termasuk Perdana Menteri, Encik Jean Castex, pada Isnin lalu untuk membincangkan kegenjotan yang berlaku.

"Mulai hari ini kita akan meningkatkan jumlah yang diberi suntikan vaksin secara besar-besaran," kata Encik Veran kepada radio RTL, menyatakan "kami akan dapat mengatasinya dengan "memperbesar, mempercepat dan mempermudah" strategi vaksinasi, katanya.

Encik Veran berkata, vaksinasi untuk mereka berusia 75 tahun ke atas yang tidak berada di rumah jagaan akan diberi kebenaran menjelang akhir bulan ini, melibatkan lima juta orang.

Beliau berkata, kempen ini juga akan diluaskan untuk meliputi anggota bomba dan pembantu rumah melebihi usia 50 tahun.

Perancis kini menerima 500,000 dos vaksin yang dibangunkan Pfizer dan BioNTech setiap minggu, kata Encik Veran.

Sebaik ia diluluskan untuk Kesatuan Eropah, 500,000 dos vaksin dibangunkan Moderna akan juga dimanfaatkan, kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Britain mengenakan perintah berkurung kepada 56 juta rakyatnya selama enam minggu bermula semalam sehingga pertengahan Februari susulan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19.

Perdana Menteri Britain, Encik Boris Johnson, yang mengumumkan perintah berkurung itu turut menegaskan semua sekolah ditutup dan langkah itu dibuat susulan amaran ketidakupayaan hospital negara itu untuk merawat pesakit.

Pada masa sama, Encik Johnson menegaskan Britain akan mendapatkan dua vaksin Covid-19 masing-masing dari Universiti Oxford dan AstraZeneca bermula semalam.

Beliau berkata, golongan sasar utama akan mendapat suntikan pada pertengahan bulan depan dalam usaha melawan Covid-19. - AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg