Perancis mula ujian pasport vaksin Covid-19 dalam usaha kembalikan kembara udara
Perancis mula ujian pasport vaksin Covid-19 dalam usaha kembalikan kembara udara
PARIS: Perancis sedang mengusahakan proses mempercepatkan pengeluaran sijil kesihatan digital dengan bermulanya ujian penerbangan dalaman sebagai langkah mengembalikan pengembaraan menggunakan pasport vaksin ini.
Aplikasi menjejak Covid-19 yang dibangunkan negara ini sejak setahun lalu malah dilengkapi dengan fungsi baru menjadi hos pada keputusan ujian virus dan rekod suntikan yang dikerahkan bagi penerbangan jarak dekat antara Paris dengan kepulauan Mediterranean Corsica.
Ini didedahkan Menteri Pengangkutan Perancis, Encik Jean-Baptiste Djebbari pada Selasa (27 April).
"Langkah ini mungkin akan membuka laluan bagi khidmat penerbangan dikendalikan seperti biasa dalam minggu dan bulan mendatang," jelas Encik Djebbari dalam satu taklimat di Lapangan Terbang Orly di ibu negara Perancis itu.
Perancis adalah negara pertama dalam Kesatuan Eropah (EU) yang mempunyai sistem yang beroperasi sebagai sebahagian rancangan kesatuan tersebut mengenalkan sijil hijau digital serantau menjelang pertengahan Jun.
Aplikasi yang dibangunkan mempunyai 15 juta pengguna bahkan disifatkan sebagai mempunyai pendekatan lebih luas berbanding aplikasi lain yang diuji di rantau ini seperti AOKpass, CommonPass dan Pas Kembara Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa.
Ujian Perancis ini akan diperluaskan kepada penerbangan Air France-KLM yang terbang ke negara luar minggu depan dan beberapa negara jiran, jelas Encik Djebbari.
Menurutnya lagi, beliau berbincang dengan rakan sejawatan di Britain mengenai rundingan kembara dua hala dan merancang perbincangan dengan Amerika Syarikat.
Sistem ini akan membolehkan hasil ujian makmal dan rekod vaksin dimuatnaikkan daripada sistem jagaan kesihatan pusat. Ia memanfaatkan apa yang sudah dicapai aplikasi jejak kontak TousAntiCovid yang sedia ada. - Agensi Berita

