Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Puluhan maut dalam serangan roket Russia di stesen kereta api

Apr 10, 2022 | 5:30 AM
KORBAN PERANG BERTERUSAN: Askar Ukraine mengangkat mayat korban serangan roket yang membunuh sekurang-kurangnya 35 penduduk kelmarin di stesen kereta api di Kramatorsk, timur Ukraine, yang digunakan bagi memindahkan penduduk. - Foto AFP
KORBAN PERANG BERTERUSAN: Askar Ukraine mengangkat mayat korban serangan roket yang membunuh sekurang-kurangnya 35 penduduk kelmarin di stesen kereta api di Kramatorsk, timur Ukraine, yang digunakan bagi memindahkan penduduk. - Foto AFP -

KRAMATORSK: Serangan peluru berpandu ke atas sebuah stesen kereta api di timur Ukraine meragut puluhan nyawa ketika orang awam bergegas menyelamatkan diri kerana khuatir dengan kemungkinan serangan terbaru Russia di bandar raya itu.

Pemimpin dunia mengutuk serangan di Kramatorsk yang juga pusat bandar Donetsk, dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Encik Joe Biden, menuduh Russia sebagai dalang 'kekejaman' itu, yang disifatkan Perancis sebagai 'jenayah terhadap kemanusiaan'.

Pihak berkuasa wilayah itu memaklumkan, sekurang-kurangnya 52 individu termasuk lima kanak-kanak terbunuh akibat serangan berkenaan, manakala Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, melaporkan 300 tercedera, dan menyifatkan serangan terbabit sebagai 'kejahatan tanpa batasan'.

Zelensky mendakwa, pengeboman itu sudah dilaporkan di Russia sebelum peluru berpandu mengenai sasaran, dan menggesa tindak balas tegas global terhadap jenayah perang berkenaan serta lebih banyak senjata untuk membalas serangan Moscow.

"Saya yakin kemenangan Ukraine hanya menunggu masa dan saya akan melakukan segalanya untuk memendekkan tempoh itu," katanya.

Wartawan AFP melihat sekurang-kurangnya 30 mayat yang ditutup dengan plastik serta sisa peluru di stesen berkenaan.

Bahagian tubuh badan, serpihan kaca dan bagasi yang ditinggalkan berselerakkan di seluruh stesen kereta api itu.

Russia menafikan bertanggungjawab terhadap serangan itu, ketika Presiden Suruhanjaya Eropah, Cik Ursula von der Leye,n dan Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Encik Josep Borrell, berada di Kyiv untuk bertemu Encik Zelensky dan melawat lokasi pembunuhan orang awam di bandar Bucha.

Ketika sidang media bersama Encik Zelensky, Cik Von der Leyen menyifatkan Russia kini semakin melumpuh kesan sekatan lebih kukuh, dan Ukraine memiliki 'masa depan Eropah'.

Enam minggu selepas bermulanya pencerobohan Russia, Moscow mengubah fokus ke bahagian timur dan selatan Ukraine selepas tentangan sengit menghalang perancangan merampas Kyiv.

Tentera Russia dilihat sedia membina laluan darat antara Crimea yang dirampas dengan Donetsk dan Lugansk di Donbas yang dikuasai puak pemisah.

Penduduk dan pihak berkuasa Ukraine yang kembali selepas pengunduran Russia di Borodianka berhampiran Kyiv, mula melihat skala kemusnahan di situ, dengan Zelensky mendakwa lebih ramai mangsa ditemui.

Peguam Negara Ukraine, Cik Iryna Venediktova, mendakwa konflik di kawasan itu menyebabkan kemusnahan teruk dengan 27 mayat ditemukan daripada dua bangunan yang musnah.

Dakwaan terbaru juga muncul ketika di Obukhovychi barat laut Kyiv, apabila penduduk kampung mendakwa mereka digunakan sebagai perisai manusia.

Sementara itu Russia menutup pejabat Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) dan Amnesty International di negara itu, yang sudah beroperasi lebih 30 tahun lalu.

Pengumuman itu dibuat pada hari ke-44 kempen ketenteraan Russia di Ukraine, dengan ribuan dilaporkan terbunuh dan lebih 11 juta penduduk melarikan diri dari rumah atau ke luar negara, dalam krisis pelarian terburuk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

HRW sudah beroperasi di Russia selama 30 tahun, manakala Amnesty International sudah berada di negara itu sejak 1993.

Setiausaha Agung Amnesty International, Cik Agnes Callamard, berkata pertubuhan itu juga akan meneruskan usaha membantu rakyat Russia.

"Kami akan menggandakan usaha untuk mendedahkan pelanggaran hak asasi manusia yang besar oleh Russia di dalam dan di luar negara itu.

"Di dalam negara di mana sejumlah aktivis dan penentang dipenjarakan, dibunuh atau dibuang negara, dengan media bebas di fitnah, disekat atau dipaksa membuat tapisan, serta pertubuhan awam dilarang, anda semestinya melakukan perkara yang betul jika Kremlin cuba menutup mulut kamu," katanya dalam satu kenyataan. - AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg