KUALA LUMPUR: 'Perang' membabitkan dua mantan perdana menteri di media sosial berterusan dengan terkini Encik Najib Tun Razak menyindir Tun Dr Mahathir Mohamad cuma tiang kayu sepanjang jadi Perdana menteri ke Empat (PM4).

Encik Najib meminta Dr Mahathir berhenti daripada terus menggunakan sentimen Melayu sebagai tunggangan.

Encik Najib menerusi hantaran di Facebook berkata, sudah tiba masanya untuk Dr Mahathir berhenti menggunakan orang Melayu untuk meneruskan agenda politiknya.

"Bila tiada kuasa - Melayu dipinggir, Melayu ditindas, jom buat proklamasi... Bila ada kuasa - Melayu malas, Melayu mudah lupa, Melayu tak pandai berpolitik, Melayu perlu ikat perut, jangan iri hati orang kaya (termasuk kroni-kroni bukan Melayu), anak-anak saya contoh Melayu pandai berniaga.

"Cukuplah, cukup. Jangan tunggang nama orang Melayu lagi," katanya melalui muat naik pada Rabu.

Melalui satu lagi muat naik di akaun Facebook sama, Encik Najib menyindir kenyataan dibuat Dr Mahathir yang menyatakan Ops Lalang yang berlaku ketika dirinya menjadi Perdana Menteri bukan atas arahan beliau.

"Tragedi Memali, dia salahkan (Tun) Musa Hitam. Pemecatan (bekas Tuan Yang di-Pertua Mahkamah Persekutuan) Tun Salleh Abas, dia salahkan Abu Talib (bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib) dan Yang di-Pertuan Agong.

"Hari ini tangkapan besar-besaran ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960) bawah Ops Lalang, dia salahkan Tun Hanif Omar.

"Semua bukan salah dia (Mahathir). Rupanya dia cuma tiang kayu saja sepanjang 22 tahun dia jadi PM4," kata Encik Najib.

Terdahulu, Dr Mahathir, ketika mengulas melalui Ops Lalang berkata sebagai Perdana Menteri, beliau perlu mendengar pandangan polis kerana mereka bertanggungjawab atas keselamatan negara.

"Pandangan dan nasihat mereka (polis) tidak boleh ditolak begitu saja, malah perkara itu sudah dijelaskan oleh Mohamed Hanif (Ketua Polis Negara ketika itu, Tun Mohammed Hanif Omar) berhubung keputusan polis.

Muat naik terbaru Encik Najib itu menyusul selepas beliau menyindir Dr Mahathir yang menuduh Datuk Anwar sebagai diktator kerana menghalang kebebasan bersuara dan mengambil tindakan untuk menyekat parti pembangkang.

Encik Najib berkata adalah pelik apabila seorang diktator memanggil orang lain dengan gelaran itu.

Kiriman Facebook dipercayai dikendalikan pentadbir akaun Encik Najib itu turut menyenaraikan apa yang dilakukan kerajaan pimpinan Dr Mahathir selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), terutama terhadap Encik Najib dan keluarganya. - BHM.