Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

SUSULAN PILIHAN RAYA NEGERI MALAYSIA

Peratusan mengundi rendah boleh jejas ruang demokrasi negara

Aug 17, 2023 | 05:30 AM



Peratusan keluar mengundi yang agak rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di Malaysia pada Sabtu lalu, disifatkan sesetengah pihak sebagai isyarat bahaya kepada ruang pengurusan demokrasi negara dan ia tidak boleh dipandang enteng oleh semua pihak.

Pemerhati politik menyifatkan perkara itu sebagai trend membimbangkan, apatah lagi selepas ini beberapa pilihan raya lagi akan menyusul, termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRN di negeri lain.

Pada PRN lalu, Terengganu merekodkan peratusan keluar mengundi paling tinggi iaitu 74.9 peratus, namun masih tidak mencapai sasaran keluar mengundi ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia iaitu 85 peratus.

Kedah pula mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 73.86 peratus, Pulau Pinang (72.67 peratus), Selangor (72 peratus), Negeri Sembilan (68.35 peratus) manakala Kelantan paling rendah (60.96 peratus).

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata tidak dinafikan berlaku penurunan jumlah keluar mengundi berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu yang mencatatkan sekitar 80 peratus.

Antara faktornya, menurut Dr Muhammad Fathi, adalah kekecewaan terhadap parti politik dan tempoh masa yang terlalu hampir dengan PRU15.

“Sebahagian pengundi rasa kecewa dengan parti yang dahulunya mereka sokong.

“Ini boleh kita saksikan pada jumlah pengundi di Kelantan yang mana jumlah undi diperoleh calon Perikatan Nasional (PN) meningkat, walaupun peratusan keluar mengundi turun, berbanding jumlah undi diperoleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang rendah.

“Jadi kita dapat fahami penurunan itu berpunca daripada mereka yang sebahagiannya dulu mengundi PH-BN, memilih untuk tidak keluar mengundi mungkin atas faktor kekecewaan dan keliru dengan apa yang diputuskan oleh parti-parti berkenaan,” katanya kepada Berita Harian.


Namun beliau berkata, rakyat dilihat mempunyai kesedaran politik yang tinggi dan menerima ruang demokrasi sebagai satu proses yang perlukan keterlibatan mereka, namun ia perlu diperkasakan terutama di kalangan generasi muda.

“Daripada sudut kesedaran politik, saya nampak rakyat faham mengundi satu tanggungjawab demokrasi. Ini kita boleh lihat apabila berlaku pertukaran kerajaan yang sudah memerintah selama 60 tahun (BN) dan suara rakyat dizahirkan dengan memilih PH pada 2018.

“Cuma apa yang perlu dibina dari semasa ke semasa ialah budaya politik matang, supaya suasana kempen berjalan dengan lebih tenang,” katanya.

Pengamat politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Wan Mohd Nazri Wan Daud, pula berkata peratusan keluar mengundi yang rendah merugikan negara kerana keputusannya dibimbangi tidak menggambarkan hasrat sebenar rakyat.

Pemahaman rakyat terhadap perbezaan PRU dan PRN, muak dengan drama politik yang tidak berkesudahan dalam negara selain lelah dengan kos sara hidup turut menyumbang kepada peratusan rendah itu.

Justeru katanya, kerajaan wajar mempertimbang supaya PRU akan datang diadakan serentak dengan PRN, bagi memudahkan semua pihak terutama pengundi.

“Sebagai contoh pada 2025 akan ada PRN Sabah, 2026 PRN Sarawak dan Melaka, kemudian PRU pada pada 2027, diikuti PRN enam negeri ini pada 2028. Jadi untuk PRN ini, ‘political fatigue’ (kelesuan politik) tidak dinafikan berlaku kerana PRU15 baru sembilan bulan berlalu.

“Wajar juga pembubaran Parlimen dan DUN dijalankan serentak kerana rakyat terbanyak punyai pelbagai komitmen sehari-hari. Terlalu kerap proses pilihan raya menyebabkan rakyat lelah,” katanya.

Menurut Dr Wan Nazri, jika dilihat di Kelantan yang merekodkan peratusan keluar mengundi paling rendah, ia mungkin disebabkan penyokong PAS yakin kubu mereka tidak akan tergugat.

Dr Wan Mohd Nazri berkata dengan wujudnya undi 18 di Malaysia, adalah wajar untuk kerajaan memperkenalkan topik berkaitan pilihan raya di dalam silibus elektif pelajar sekolah menengah untuk membina kesedaran tentang peri penting pilihan raya dalam sistem demokrasi negara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >