Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Perdana menteri Jepun ke-100 siap siaga pimpin pilihan raya umum

Oct 18, 2021 | 05:30 AM



PERDANA Menteri Jepun yang ke-100 baru sahaja dilantik pada 4 Oktober lalu.



Encik Fumio Kishida, pemimpin Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah, dipilih Parlimen negara itu untuk menggantikan Encik Yoshihide Suga yang mengumumkan persaraannya bulan lalu, selepas hanya setahun memegang jawatan tertinggi itu.



Encik Kishida, 64 tahun, mantan menteri luar, beberapa hari sebelumnya telah menewaskan tiga calon pemimpin LDP lain untuk menerajui parti terbesar Jepun itu.



Ujian besar pertama beliau sebagai perdana menteri adalah memimpin LDP untuk menghadapi pilihan raya umum yang kini dilaporkan diadakan pada 31 Oktober ini.



Encik Kishida telah berjanji akan meningkatkan pendapatan golongan kelas pertengahan dan mengurangkan jurang kekayaan dengan pelaksanaan bentuk 'kapitalisme baru', yang dikatakan berlainan daripada dasar ekonomi yang telah dilaksanakan kerajaan Jepun selama dua dekad lalu.



Di samping itu, beliau berkata pakej ekonomi bernilai "puluhan trilion yen" sedang disiapkan untuk membantu warga negara itu dan peniaga yang terjejas ekoran wabak Covid-19.



Sedang kadar jangkitan terus merosot baru-baru ini, dan kira-kira 60 peratus penduduk Jepun telah menerima suntikan vaksin Covid-19 sepenuhnya, perdana menteri baru itu perlu terlebih dahulu melakukan tugasnya, secara bertahap-tahap, untuk melonggarkan sekatan kegiatan sosial dan perniagaan serta pembukaan semula sempadan kepada pelancong asing.



"Kishida tidak membuang masa sama sekali," kata Encik Tobias Harris, seorang zamil kanan di Center for American Progress melalui Twitter kepada Reuters.



"31 Oktober membuat pembangkang dalam kedudukan belum bersedia, mengambil kesempatan daripada 'tempoh bulan madu' ekoran pemilihan LDP, selain peluang lebih baik untuk mencatatkan kes (Covid-19) lebih rendah."



Beliau menambah: "Jika Kishida menang dengan selesa dalam pilihan raya umum akan datang dan dapat mencapai keputusan baik untuk memenangi pilihan raya Dewan Tinggi tahun depan, beliau akan mempunyai tempoh hingga tiga tahun tanpa perlu menghadapi sebarang pilihan raya."



Keputusan Encik Kishida mengadakan pilihan raya dengan segera mungkin kerana beliau tidak mahu mengulangi kesalahan yang dibuat Encik Suga, yang tidak mengadakan pilihan raya semasa sokongannya masih kuat, kata penganalisis.



"Saya percaya beliau (Kishida) mahu mengadakan pilihan raya sebelum suasana (terhadap Kabinet baru) menjadi dingin," kata Encik Zentaro Kamei, seorang zamil kanan di Institut PHP, lapor Reuters.



Berusaha untuk menjadikan dirinya berlainan daripada langkah respons pandemik kerajaan Encik Suga yang tidak popular, perdana menteri baru itu juga menyebut kemampuannya mendengar dengan baik dan berjanji akan "mencipta suasana di mana kita semua dapat mengatasi krisis ini bersama".



Encik Kishida berkhidmat sebagai menteri luar pada tempoh 2012-17, dan pada waktu itu beliau merundingkan beberapa perjanjian dengan Russia dan Korea Selatan, dua negara yang mempunyai hubungan dingin dengan Jepun.



Sementara itu, Encik Kishida juga mengumumkan barisan anggota Kabinetnya, selepas dipilih menjadi perdana menteri, yang menampilkan sebilangan sekutu bekas Perdana Menteri Shinzo Abe.



Daripada 20 jawatan, 13 diisi oleh mereka yang tidak mempunyai pengalaman Kabinet sebelumnya, sejajar dengan janji Encik Kishida mahu memberi peluang kepada pemimpin baru, namun kebanyakan jawatan utama diberikan kepada sekutu Encik Abe, atau mantan menteri kewangan Taro Aso.



Antara menteri dalam Kabinet itu termasuk Encik Toshimitsu Motegi, 65 tahun, sebagai Menteri Luar, antara sebilangan kecil menteri Kabinet yang kekal daripada pentadbiran Encik Suga.



Nama lain termasuk Encik Nobuo Kishi, 62 tahun, dilantik sebagai Menteri Pertahanan; Encik Shunichi Suzuki, 68 tahun, sebagai Menteri Kewangan; dan Encik Koichi Hagiuda, 58 tahun, sebagai Menteri Perdagangan dan Ekonomi. - Susunan MOHD NOOR A. RAHMAN




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >