KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil semua Ahli Parlimen (MP) dan individu yang terbabit dalam perhimpunan berhampiran Dataran Merdeka.
Semua mereka akan dirakam percakapan sebelum polis melengkapkan kertas siasatan yang akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata pihaknya sudah menerima dua laporan di sekitar Kuala Lumpur, berhubung perhimpunan berkenaan.
"Pada mulanya kita sendiri mendapat maklumat mengenai perancangan beberapa individu yang ingin menganjurkan perhimpunan di bangunan Parlimen, sebelum polis mendapat maklum balas daripada Parlimen bahawa tiada sebarang perhimpunan akan diadakan.
"Susulan itu Polis Kuala Lumpur kemudian membuat persediaan menutup sebahagian jalan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur terutama menuju ke bangunan Parlimen," katanya dalam sidang media, pada petang Isnin.
Seramai 500 pegawai dan anggota polis terbabit dalam penugasan mengawal pergerakan individu terbabit yang merancang berhimpun di laluan ke bangunan Parlimen sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.
"Susulan itu kita sedang menyiasat semua individu yang terbabit dengan memanggil mereka bagi membantu siasatan.
"Siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Pemberitahuan Perhimpunan); Seksyen 12 A, Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988; Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, 2021 (Larangan Berarak) dan Peraturan 10 peraturan sama iaitu (Kawalan Berhimpun).
Seramai 107 MP pembangkang termasuk Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dikatakan berhimpun di Dataran Merdeka pagi Isnin selepas gagal masuk Parlimen. - Berita Harian Malaysia
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg