SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Perikatan Nasional lancar manifesto parti

Perikatan Nasional lancar manifesto parti

Nov 6, 2022 | 5:30 AM

Perikatan Nasional lancar manifesto parti

PERTAHAN KERUSI: Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah), di pusat penamaan calon di Pagoh semalam. - Foto FB MUHYIDDIN YASSIN
PERTAHAN KERUSI: Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah), di pusat penamaan calon di Pagoh semalam. - Foto FB MUHYIDDIN YASSIN -

PAGOH: Perikatan Nasional (PN) akan melancarkan manifesto parti itu bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kuala Lumpur hari ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perincian manifesto itu akan dimaklumkan pada majlis pelancaran berkenaan.

"Esok, PN akan melancarkan manifesto atau 'aku janji' kita. Ini akan saya perincikan esok mengambil kira semua perkara yang cukup penting untuk kita laksana dan tunaikan.

"Saya nak menyatakan bahawa kita tidak mahu berjanji, kita akan usahakan dan melaksanakan sepenuhnya apa yang kita janjikan dalam manifesto," katanya kepada BH Online semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon Parlimen Pagoh di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Pagoh di sini semalam.

Tan Sri Muhyiddin berkata, antara perkara yang ditegaskan dalam manifesto itu membabitkan aspek ekonomi, alam sekitar, belia, sosial, pendidikan serta wanita.

"Ini akan kita maklumkan dan berharap ia mendapat tarikan pengundi di seluruh negara," katanya.

Mengenai pencalonannya bagi mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh, bekas Perdana Menteri itu berharap beliau memperoleh sokongan besar pengundi 19 November ini.

"Saya berdoa berkat usaha kita lakukan dan saya kira di Pagoh ini sudah sinonim dengan saya, lebih 40 tahun.

"Saya juga berharap rakan lain (calon PN) yang masuk ke pusat penamaan calon di seluruh negara juga akan diterima," katanya.

Beliau turut berharap, jumlah peratusan keluar mengundi pada PRU-15 adalah tinggi terutama membabitkan pengundi muda dan kali pertama susulan pelaksanaan Undi18.

"Harapan kita supaya mereka memberi pertimbangan yang bijaksana memilih parti yang mereka anggap boleh dipertanggungjawab, memikul amanah dan memahami masalah rakyat.

"Itu menunjukkan kita sudah bersedia untuk menawarkan suatu kerajaan yang baik, prihatin, bersih dan stabil sebagaimana 'tagline' PN," katanya.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Razali Ibrahim, berkata biarpun berdepan Tan Sri Muhyiddin yang disifatkan sebagai calon 'heavyweight', BN tetap memiliki peluang menang di kerusi berkenaan.

Katanya, apa yang penting ketika ini adalah memperkemaskan jentera parti untuk melaksanakan gerak kerja bagi mengecap kemenangan.

"Dalam pilihan raya, tidak ada orang boleh beritahu pada hari pencalonan siapa boleh menang. Perasaan pasukan yang bertanding pun, semua mahukan kemenangan.

"Walaupun di sini (Parlimen Pagoh) kita 'underdog' dan bukan penyandang, ia memberi kita galakan untuk lebih bersemangat bekerja," katanya.

Bagi PRU-15, kerusi Parlimen Pagoh menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Tan Sri Muhyiddin, Encik Razali dan calon Pakatan Harapan (PH), Encik Iskandar Shah Abd Rahman.

Pada PRU14, Tan Sri Muhyiddin mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh dengan majoriti 6,927 undi.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg